fbpx

Sindiket tumpas diesel subsidi RM32 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

MIRI – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) berjaya melumpuhkan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang beroperasi di sekitar daerah ini semalam.

MCBA dalam satu kenyataan berkata, sepasukan polis dari Bukit Aman bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Miri menyerbu sebuah stor tidak bernombor di Krokop Utama dan melakukan rampasan bernilai RM32 juta.

“Hasil serbuan tersebut, enam individu ditahan termasuk warga tempatan dan warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

“Turut dirampas dua bot tunda, sebuah kapal tangki minyak, tiga unit pam, sebuah trak pikap, sebuah lori, sebuah tangki simpanan, dua tangki besi, dua tangki IBC, dan 146,720 liter minyak disyaki minyak diesel bersubsidi,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut MCBA, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDN Miri untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kata MCBA, kejayaan operasi itu merupakan hasil kerjasama erat antara agensi-agensi penguatkuasaan dalam usaha membanteras kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi yang merugikan negara.

“MCBA dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman akan terus komited menjalankan operasi-operasi sebegini bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” kata MCBA. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI