fbpx
Tangkap layar aduan orang ramai setiap kali ada gangguan ketika membuat pembayaran secara dalam talian.

Pengguna kelam-kabut, bank dan telco kaut untung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika dahulu, kita risau apabila keluar tidak membawa wang tunai. Selepas zaman berubah, kad menjadi pengganti wang tunai. Dengan sekeping kad, kita bebas untuk berbelanja kerana kebanyakan kedai menerima pembelian melalui kad.

Hari ini, tanpa membawa wang tunai dan kad bank, kita tidak perlu risau apa-apa. Janji ada telefon pintar di tangan.

Segala urusan pembayaran boleh diselesaikan dengan menggunakan kemudahan secara elektronik yang dikenali sebagai e-pembayaran, e-dompet atau e-wallet.

Di mana-mana sahaja sudah menyediakan kemudahan transaksi DuitNow menggunakan kod QR (quick response code) iaitu sejenis kod bar generasi kedua yang dibangunkan oleh sebuah syarikat di Jepun sejak tahun 1994 lagi.

Bukan sahaja mak cik penjual pisang goreng, peminta sedekah dan tuan rumah majlis perkahwinan juga hari ini menyediakan kod QR untuk kemudahan para tetamu ‘menyumbang’ secara tanpa tunai.

Penulis sendiri hari ini sangat jarang menggunakan pembayaran tunai, lebih cepat, tepat dan paling penting tidak perlu menunggu juruwang terkial-kial mencari duit syiling untuk memulang baki bayaran. Jika tidak cukup dapatlah gula-gula sebagai ganti!

Namun semua kemudahan itu memerlukan dua elemen yang sangat penting iaitu internet dan sistem aplikasi perbankan. Keadaan itu menjadikan internet bukan lagi satu barangan mewah, tetapi satu keperluan maha penting.

Di negara kita, pengguna internet telah pun mencecah 33 juta orang. Daripada jumlah itu, hampir 12 juta menggunakan data atau internet mudah alih.

Sementara penggunaan e-pembayaran dalam kalangan rakyat Malaysia juga terus meningkat. Pada tahun 2023 sahaja, pertumbuhan tahun ke tahun transaksi DuitNow QR meningkat lebih dua kali ganda kepada 360 juta transaksi bernilai RM14.6 bilion berbanding 125 juta transaksi berjumlah RM5.5 bilion pada 2022.

Pertumbuhan yang kukuh ini disokong oleh kadar penembusan telefon pintar yang tinggi sekitar 95 peratus dan capaian internet 97 peratus oleh rakyat Malaysia.

Malangnya baru-baru ini, sebilangan pengguna aplikasi perbankan berhadapan dengan suasana kelam-kabut apabila sistem bank tiba-tiba terhenti dan gagal diakses.

Minggu lalu, sebilangan pengguna sekali lagi terjejas apabila sistem internet syarikat telco terkenal terhenti menyebabkan semua urusan perbankan, kemudahan Waze serta aplikasi e-hailing dan p-hailing gagal berfungsi.

Keadaan itu menyebabkan sekali lagi pengguna menjadi kelam-kabut apabila banyak urusan dan pekerjaan mereka yang bergantung penuh kepada sistem internet terjejas.

Dalam keadaan kebergantungan dan kepercayaan rakyat yang semakin tinggi terhadap urusan dan kemudahan elektronik, seharusnya masalah system down seperti ini tidak wajar berlaku.

Lebih malang apabila syarikat perbankan dan telco mengumumkan keuntungan berbilion ringgit, namun kerugian dan kesusahan pengguna akibat kelemahan dan kecuaian syarikat berkenaan terus dipandang sepi.

Beginilah nasib pengguna kerdil, tiada siapa peduli! Hak mereka masih merumput ketika pihak lain terbang tinggi ke angkasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN