fbpx

Juara pentingkan kualiti perkhidmatan untuk jemaah umrah, haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosnah (kiri) menyerahkan watikah perlantikan kepada petugas haji Juara pada majlis penutup kursus haji di Port Dickson baru-baru ini.

PETALING JAYA – Rata-rata syarikat yang terlibat dalam industri berkaitan haji dan umrah dioperasikan oleh usahawan lelaki yang berpengalaman bersesuaian dengan kelincahan dan ‘kelasakan’ mereka terlibat sama menguruskan jemaah haji dan umrah di Tanah Suci.

Bagi Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. (Juara), ia agak istimewa kerana sentuhan wanita mengoperasikan perniagaan itu membolehkan ia kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemain gergasi berjenama besar dalam industri ini.

Pengarah Urusan syarikat, Rosnah Wagino, 51, memiliki cara yang tersendiri dalam mengemudi empayar perniagaan yang di­tinggalkan arwah suaminya yang menjadi mangsa Covid-19 pada tahun 2021 membolehkan syarikat itu terus berdiri kukuh membina jenamanya.

Malah kini syarikat semakin sibuk pada musim haji ini dan selepas berakhirnya musim tersebut kerana mereka bakal mengu­ruskan bakal-bakal jemaah umrah pula.

Keputusan anak kelahiran Felda 1 Jengka, Pahang yang mengambil keputusan berhenti makan gaji daripada sebuah syarikat swasta adalah satu tindakan yang betul untuk membantu syarikat dalam bidang pentadbiran dan kewangan.

Pengalaman tersebut menjadikan beliau tidak kekok untuk duduk di kerusi pengarah urusan bagi meneruskan segala urusan yang telah diamanahkan oleh arwah suaminya.

Namun beban mengendalikan 4,000 jemaah yang terkandas dan tidak dapat berlepas mengikut jadual penerbangan asal kerana penutupan semua sempadan negara dan industri penerbangan juga terhenti buat sementara dalam tempoh pandemik itu, memberi satu pengalaman yang benar-benar menguji kemampuan dirinya.

“Ketika itu, semua syarikat dalam industri ini terjejas, ada yang sudah tutup operasi.

‘Tetapi apa yang saya fikirkan adalah untuk terus mengekalkan Juara dalam tempoh mencabar ini, kami tidak boleh menutup operasi.

“Perkara sedih yang kami tidak dapat elakkan adalah terpaksa memberhentikan separuh daripada tenaga kerja.

“Pada awalnya, kami masih membayar gaji pekerja seramai 133 orang, namun tiada petunjuk langsung yang memba­yangkan industri ini bakal pulih dalam masa singkat, jadi separuh daripada mereka telah diberhentikan, tetapi kami membayar pampasan kepada mereka.

 

“Lebih menyedihkan selepas suami meninggal dunia pada pertengahan tahun 2021, saya yang ketika itu dalam tempoh idah, tidak boleh keluar ke mana-mana tetapi terpaksa menguruskan isu berkaitan 4,000 jemaah umrah kami yang terkandas akibat sempadan negara yang masih belum dibuka sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Rosnah menerangkan, setelah sempadan negara dibuka sepenuhnya dan industri umrah dan haji kembali beroperasi, pihak­nya mempunyai masa yang sangat terhad untuk ­menyusun semula ja­dual penerbangan semua jemaahnya yang masih setia bersama syarikat secara berperingkat.

Proses tersebut berjaya diselesaikan dengan jaya­nya melalui soko­ngan da­ripada kakitangannya.

“Segala urusan berjalan de­ngan lancar, kakitangan saya ba­nyak membantu dan menyokong, mereka adalah penguat sema­ngat saya ketika itu,” jelasnya.

Syarikat Juara yang mendapat lesen pengurusan haji daripada Lembaga Tabung Haji pada tahun 2018 itu memiliki sebanyak 28 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan juga Sarawak.

Baru-baru ini, Juara menganjurkan program kursus haji untuk bakal haji di bawah kelolaan syarikat di sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Rosnah memberitahu, pada tahun ini, seramai 220 bakal haji yang mendapat surat tawaran rasmi daripada Tabung Haji telah memilih Juara melalui dua pakej haji yang ditawarkan syarikat pada harga antara RM49,000 hingga RM77,000.

Ini adalah misi kelima syarikat membawa jemaah haji bermula tahun 2018 melibatkan seramai 185 orang jemaah.

Bagaimanapun, dua tahun syarikat berehat sementara dalam tempoh pandemik pada 2020 dan 2021, manakala syarikat dapat bero­perasi semula pada tahun 2022 melibatkan 80 jemaah haji, 2023 (162 orang) dan 2024 (220 orang).

“Kami tidak tertumpu pada tawaran harga kepada pelanggan, tetapi kami sangat memen­tingkan kualiti per­khidmatan yang ditawarkan kepada jemaah seperti menyediakan dua mutawif untuk sebuah kumpulan ketika berada di Tanah Suci.

“Syarikat memiliki kepercayaan dan rangkaian yang baik dengan syarikat penerbangan yang mana kami tidak akan menjual pakej selagi tidak mendapat pengesahan daripada syarikat tersebut begitu juga hubungan baik yang terjalin dengan pihak hotel di Tanah Suci.

“Pada tahun lalu, kami telah membawa kira-kira 10,000 jemaah umrah dengan 10 peratus daripada mereka adalah golo­ngan kenamaan.

“Harga yang ditawarkan untuk umrah adalah serendah RM6,990 sehingga lebih RM13,000 mengikut musim,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI