SEPERTI lelaki lain, Is (bukan nama sebenar) juga mempunyai keinginan untuk berumah tangga.
Namun begitu, lelaki yang berkhidmat sebagai pegawai bank itu ditakdirkan untuk berkahwin pada usia agak lewat.
“Saya bertemu jodoh pada usia awal 40-an, manakala isteri saya pula muda hampir 20 tahun daripada saya.
“Pada ketika itu, isteri saya baru berusia awal 20-an dan dia masih belajar di universiti ketika berkahwin,” katanya.
Untuk makluman, Is dan isterinya berkenalan di media sosial sebelum mengambil keputusan untuk menjalin hubungan lebih serius dan berkahwin.
Ketika berkahwin, Is telah memiliki segala-galanya seperti rumah dan kereta, jadi isterinya hanya perlu ‘cuci kaki’ masuk ke rumah. Is amat bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang cantik pada pandangan matanya.
Namun begitu, disebabkan perbezaan umur agak jauh, Is terpaksa melayan kerenah isterinya yang kadangkala seperti kebudak-budakan.
“Saya melayan isteri seperti seorang puteri dan segala keinginannya saya turuti.
“Jika saya tidak mengikut kehendaknya, dia akan merajuk berhari-hari,” terangnya.
Is mengakui, selepas mereka berkahwin hampir enam bulan, baru dia tahu sikap sebenar isterinya.
Isterinya boleh dikatakan seorang ‘pemalas’ dan tidak tahu langsung menguruskan rumah tangga.
Is menjelaskan, isterinya tidak pandai memasak hingga menyebabkan mereka terpaksa makanan di luar.
Kalau pakaian kotor pula, Is terpaksa menghantar ke dobi untuk dicuci.
Selain itu, isterinya juga suka berbelanja dengan boros untuk membeli barang-barang yang disifatkan sebagai kehendak.
“Saya ada beri kad kredit kepadanya untuk digunakan di saat memerlukan.
“Ternyata, dia menggunakan kad kredit saya untuk membeli-belah sesuka hati.
“Saya ada menegurnya, namun selepas dimarahi dia merajuk seperti anak kecil. Dia juga menyatakan bahawa saya sudah tidak sayang lagi kepadanya,” jelasnya.
Disebabkan itu, Is terpaksa mengambil kembali kad kredit bagi memastikan isterinya tidak boros berbelanja.
Rentetan itu, isterinya melakukan ‘protes’ dengan tidur di bilik berasingan dengan Is.
Malah, isterinya juga sering menolak untuk ‘bersama’ jika kehendaknya tidak dituruti.
Disebabkan rasa sayang kepada isterinya, Is memberi wang belanja hampir RM2,000 sebulan untuk perbelanjaan dapur.
Bagaimanapun, wang tersebut selalunya habis digunakan oleh isterinya dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Jadi, dia akan meminta wang belanja tambahan daripada Is.
Selain itu, Is juga mendapati bahawa isterinya suka tidur di rumah kawannya terutamanya pada malam hujung minggu.
“Pada hujung minggu, dia (isteri) ingin menghabiskan masa dengan rakan-rakannya ketika sama-sama melanjutkan pengajian di universiti.
“Pada mulanya saya tidak kisah, namun apabila hampir setiap minggu dia pergi tidur di rumah rakannya, ia membuatkan saya mula curiga.
“Jadi, saya mengupah seseorang untuk mengikut isteri dan rakan-rakannya pergi ke kelab malam. Saya dapati mereka mengenakan pakaian seksi untuk berhibur,” katanya.
Bukan itu sahaja, isterinya juga gemar minum minuman keras ketika berhibur di kelab malam.
Ujar Is, dia tidak menyangka bahawa isterinya sanggup melakukan pelbagai perkara melanggar batas agama di belakangnya.
Disebabkan perkara tersebut, Is mengakui dia sudah tawar hati dengan isterinya. Jadi, dia memilih untuk meluahkan segala rasa tidak puas hati yang terbuku kepada isterinya.
Selepas Is meluahkan segala isi hati, isterinya langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah.
Disebabkan itu, Is nekad mengambil keputusan untuk berpisah dengan isterinya. Mereka sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.















