RANTAU PANJANG – Pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini kembali sesak meskipun berlaku kes letupan bom kali kedua di Narathiwat dalam tempoh dua minggu pada Isnin lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati, bas persiaran dan kenderaan persendirian beratur panjang untuk masuk ke ICQS sehingga berlaku kesesakan hampir satu kilometer seawal pukul 7 pagi.
Seorang pelancong, Abdul Rahim Yusof, 65, berkata, dia tetap bercuti ke Thailand sempena cuti persekolahan yang bermula semalam meskipun mengetahui Thailand sedang bergolak.
“Tahun ini sudah tiga kali saya bercuti ke Thailand. Kali ini, saya dan keluarga akan menetap di Yala selama seminggu.
“Saya kerap ke sana untuk menziarahi keluarga dan terus makan angin di negara tersebut. Saya masih yakin kawasan yang akan dikunjungi ini masih selamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ICQS Rantau Panjang, di sini semalam.
Menurutnya, dia sudah biasa menerima berita dan perkhabaran mengenai insiden letupan bom di Narathiwat dan sentiasa berdoa agar tidak terlibat dengan situasi tersebut sepanjang berada di sana.
“Sebab itu orang Malaysia tetap masuk ke Thailand. Mereka yakin selamat dan bukan setiap hari berlaku insiden letupan bom,” katanya.
Seorang lagi pelancong, Noriha Mohd. Lokman, 25, berkata, ini bukan kali pertama dia bercuti ke Thailand dan berharap agar perjalanannya selamat sepanjang berada di negara berkenaan.
Katanya, tarikan makanan yang sedap, murah dan banyak lokasi menarik menyebabkan dia kerap masuk ke Thailand.
“Walaupun situasi di Selatan Thailand bergolak, saya tetap meneruskan perjalanan ini kerana sudah merancang awal percutian bersama keluarga semasa cuti sekolah,” ujarnya.
Seorang pengusaha motosikal tambang, Mohd. Zulkifli Idris, 40, berkata, keadaan di ICQS Rantau Panjang kembali sesak dengan orang ramai apabila cuti sekolah bermula semalam.
“Beberapa hari lalu keadaan di sini lengang, tetapi hari ini (semalam) kembali sesak.
“Thailand tetap menjadi pilihan percutian rakyat Malaysia meskipun tahun ini merupakan Tahun Melawat Kelantan 2024,” ujarnya.
Situasi kali ini berbeza dengan tinjauan yang dilakukan Kosmo! sempena cuti Hari Wesak pada Rabu lalu apabila pintu sempadan itu lengang berikutan insiden dua letupan bom di Daerah Jok Irong dan Sukhirin di Narathiwat baru-baru ini.
Seorang penduduk, Baharin Abu Bakar, 45, berkata, kebiasaannya setiap kali cuti umum rakyat Malaysia berpusu-pusu masuk ke Thailand dan berlaku kesesakan sekitar pukul 7.30 hingga 11 pagi di pintu masuk tersebut.
“Tetapi, hari ini (Rabu lalu) lancar, kenderaan tidak perlu beratur panjang, hanya perlu menunggu tiga hingga empat kenderaan di hadapan.
“Sebelum ini setiap kali cuti umum akan berlaku kesesakan hampir satu kilometer untuk melepasi sempadan ini,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














