fbpx

Malaysia minta antarabangsa tingkat tekanan ke atas Israel, patuh langkah ICJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wisma Putra.

PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk mengenakan langkah-langkah sementara tambahan berhubung kes berkaitan Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid di Gaza (Afrika Selatan v. Israel).

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, untuk itu Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel supaya mematuhi langkah-langkah sementara tambahan yang telah diputuskan oleh ICJ.

“Kegagalan Israel untuk mematuhi arahan-arahan berkenaan adalah satu penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa.

“Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

“Ia berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, ICJ mengarahkan Israel untuk mengambil langkah-langkah seperti menghentikan dengan segera serangan ketenteraan di Rafah dan mengekalkan pembukaan pintu sempadan di Rafah bagi penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

Selain itu ialah membenarkan akses tanpa halangan kepada mana-mana Suruhanjaya Siasatan, Misi Pencarian Fakta atau badan siasatan yang diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan siasatan genosid di Gaza.

Ini termasuk melaporkan tindakan-tindakan yang telah diambil Israel mengenai arahan Mahkamah dalam tempoh sebulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI