HANNAH reda apabila hasrat menimang cahaya mata pertama masih belum diperkenankan Tuhan.

Kalau hamil lagi, saya akan rehat – Hannah Delisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bukan sesuatu yang mudah buat aktres Hannah Delisha apabila impiannya untuk memiliki cahaya mata hilang sekelip mata selepas mengalami keguguran kehamilan sulungnya sekitar Mac lalu.

Biarpun sedih, Hannah atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackbirne Birch, 27, kini reda dan menerima takdir dengan hati yang terbuka.

“Sejujurnya fasa sedih kerana keguguran itu telah tamat. Ya, sebagai wanita sudah tentu sedih, tetapi saya berasa okey sekarang selepas cukup rehat.

“Tambahan, ramai yang memberi sokongan seperti suami dan orang di sekeliling saya. Fasa itu sudah lepas, saya sudah reda dan terima.

“Saya faham dalam kehidupan kita setiap orang ada ujian masing-masing dan ini adalah bahagian saya,” tutur Hannah ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.

Hannah kini sudah reda dan menerima takdir keguguran cahaya mata sulungnya. – Amir Khalid

Ditebak adakah Hannah trauma dengan apa yang berlaku dan bakal mengambil langkah drastik andai disahkan hamil pada masa depan, Hannah mempunyai jawapan tersendiri berhubung soalan terbabit.

“Tidak ada halangan dan tidak rancang juga (kehamilan). Jika Allah izinkan untuk saya hamil sekali lagi, saya perlu berehat semasa awal kandungan iaitu trimester pertama.

Mesej

“Imbas kembali sebelum ini, saya terlalu sibuk dengan kerja, banyak berjalan ke sana sini, tidak cukup tidur. Jadi, jika disahkan hamil kelak saya akan lebih berhati-hati dan pilih untuk berehat,” ujar wanita asal Singapura itu lagi.

Berbicara tentang karier seninya, Hannah beraksi cemerlang menerusi watak Sharifah Batrisya dalam drama Lelaki Itu yang mencetuskan fenomena luar biasa.

Menerusi drama nukilan Erma Fatima itu, Hannah berjaya menonjolkan sisi baharu apabila lakonan sebagai wanita yang mengalami tekanan jiwa kerana ‘terkahwin’ dengan adik-beradik sendiri sehingga hamil.

Terjemahan watak itu berjaya meninggalkan kesan yang mendalam pada penonton.

Watak Batrisya yang dilakonkan Hannah dalam drama Lelaki Itu sangat mencabar emosi dan mentalnya.

“Ketika berlakon drama ini saya belum mengalami keguguran. Saya tidak sangka akan mengalami perkara yang sama di dalam drama dan realiti.

“Bezanya dalam drama, Batrisya mengugurkan kandungan, tetapi saya keguguran. Emosinya sangat berat tetapi berbeza apabila saya benar-benar mengalaminya,” luah isteri kepada lelaki bernama Iman Shah itu.

Dalam pada itu, Hannah bersyukur apabila drama Lelaki itu, lakonannya bersama Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Nur Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf dan Nadia Brian mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Tidak hanya sebagai hiburan semata-mata, jelas Hannah drama Lelaki Itu menyampaikan banyak mesej tersirat yang membuatkan penonton berfikir.

“Drama ini berat dan berbeza dengan drama lain. Banyak yang saya sebagai pelakon dan penonton dapat belajar daripada drama ini.

“Antaranya isu kesihatan mental. Saya pasti ramai orang di luar sana menghadapi perkara yang sama cuma tidak berani buat pendedahan.

“Isu perkahwinan adik-beradik juga saya sendiri tidak dapat bayangkan jika perkara yang sama berlaku pada diri sendiri. Memang akan jadi gila. Tetapi memang ada kes sebenar di luar sana,” kata Hannah.

Emosi

Akui Hannah, bukan mudah untuk dia membawakan watak Batrisya dan sebagai pelakon dia menyahut cabaran yang diberikan oleh penerbit dan pengarah.

“Kerja sebagai seorang pelakon memang sudah tanggungjawab untuk buat kajian watak dan menterjemah watak dengan baik.

“Banyak babak saya di dalam bilik yang membuatkan saya penat mental. Malah, selepas pulang ke rumah dan selesai penggambaran, saya rasa terlalu penat dengan watak Batrisya ini.

Kontroversi rakan senegaranya, Aliff Aziz langsung tidak menjejaskan perjalanan karier Hannah di Malaysia.

“Sebab itu, saya mengambil masa untuk berehat sebelum kembali semula ke set penggambaran untuk drama terbaharu pada Julai depan,” jelas Hannah.

Sementara itu, menyentuh tentang kontroversi rakan senegaranya Aliff Aziz, Hannah memilih untuk enggan masuk campur dan menyifatkan isu tersebut bersifat peribadi.

“Secara peribadi perkara tersebut (kontroversi Aliff) tidak menjejaskan saya. Bagi saya orang ramai boleh berfikir sendiri perkara tersebut adalah masalah peribadi.

“Bukannya masalah antarabangsa antara dua buah negara. Lebih baik kita fikirkan isu di Palestin,” ujar Hannah menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN