fbpx

JKDNKA rampas RM35.9 juta pelbagai barang hasil serbuan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas menerusi operasi di sekitar Sarawak bermula 20 Mei hingga kelmarin.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM35.9 juta nilai rampasan termasuk 14 individu ditahan menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Sarawak bermula 20 Mei hingga kelmarin.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, operasi merangkumi Op Taring Bravo 1, Op Taring 1, dan Op Taring Alpha 2.

Kata beliau, kejayaan tersebut hasil kerjasama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), JKDNKA beserta beberapa agensi penguatkuasaan negara.

“Pada 20 Mei pihak WCB/PSK bersama Pasukan Pasukan Polis Marin (PPM) melaksanakan tiga serbuan di daerah Bintulu, Sarawak yang mana menumpaskan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dengan penahanan seorang lelaki tempatan.

“Antara dirampas 32,000 liter minyak diesel bersubsidi, 32 tangki IBC dan empat unit pam minyak beserta hos membawa nilai keseluruhan RM140,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, serbuan kedua turut menahan seorang lelaki tempatan beserta rampasan 10,030 minyak diesel bersubsidi, 16 tangki IBC, tiga unit pam minyak, satu meter digital membawa jumlah RM54,093.

“Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Bagi serbuan ketiga dan keempat pula, Kamarudin memaklumkan ia hasil risikan PDRM bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA).

Jelasnya, satu sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai Kastam berjaya ditumpaskan membawa tangkapan enam lelaki warga asing termasuk 7,172 liter minuman keras pelbagai jenis, 250,00 batang rokok, serta dua buah van.

“Anggaran rampasan bernilai RM3.1 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 185/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Kata Kamarudin, serbuan terakhir dilakukan WCB/PSK diserta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Miri, Sarawak yang membawa jumlah rampasan bernilai 32.6 juta termasuk sebuah kapal tangki minyak.

“Dua lelaki warga tempatan dan empat warga asing ditahan dan antara dirampas 146,720 liter minyak subsidi, dua bot tunda, sebuah kapal tangki, tiga unit pam hos, sebuah pacuan empat roda, sebuah lori bonded, sebuah tangki skid.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Tambah Kamarudin, pihaknya telah melakukan sebanyak 82 serbuan di seluruh negara dan 185 individu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk rampasan bernilai RM230.6 juta bagi tempoh 1 Januari sehingga 24 Mei. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI