SHAH ALAM – Terdapat segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Lembah Klang sanggup mengambil risiko dengan menawarkan perkhidmatan prebet sapu menggunakan kenderaan persendirian tanpa Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).
Rata-rata mereka yang terlibat dalam aktiviti itu mengakui mereka mampu memperoleh sehingga RM2,000 sebulan hasil pekerjaan sampingan tersebut.
Seorang pelajar yang dikenali sebagai Lufti, 22, berkata, bagi menjalankan kegiatan prebet sapu, seseorang penuntut itu hanya perlu mempunyai lesen memandu dan mendaftar dengan pengendali perkhidmatan itu di Telegram dengan bayaran RM24 untuk enam bulan atau RM48 setahun.
Kegiatan itu mendapat permintaan tinggi mencecah 500 tempahan sehari.
“Pemandu boleh memperoleh RM70 hingga RM80 sehari jika bekerja selama lima jam. Kalau rajin dapat lebih (upah). Selepas ditolak kos petrol, dapat untung RM1,800 hingga RM2,000 sebulan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurut pemuda itu, kadar bayaran prebet sapu ditetapkan oleh pengendali, namun pemandu dan penumpang boleh tawar-menawar.
“Macam abang (wartawan Kosmo!) naik jaraknya tidak jauh jadi saya caj RM5. Jika guna perkhidmatan e-hailing cecah RM10. Tetapi ada juga pelajar yang buat tawaran tidak masuk akal, jadi saya terpaksa tolak,” ujarnya.
Jelasnya, kehidupannya sebagai pelajar bertambah baik selepas melakukan kerja sampingan itu, namun mengakui bimbang sekiranya kegiatan tersebut dihidu pihak berkuasa.
“Saya tahu tentang prebet sapu daripada kawan, jadi saya cuba sejak November lalu. Pendapatan yang diperoleh saya gunakan untuk membayar sewa rumah dan membeli barangan yang saya mahukan,” katanya.
Seorang lagi pelajar Ariff, 21, pula memberitahu, dia mendaftar menyertai prebet sapu tahun ini kerana terdesak wang.
“Kerja pandu prebet sapu ini fleksibel, lebih-lebih lagi saya baru memulakan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Jika kelas tidak banyak, saya bawa kereta ambil penumpang dalam kalangan pelajar jadi dapat RM100 sehari.
“Jika kerja sambilan di kedai makan atau butik pakaian, perlu ikut jadual yang ditetapkan dan mungkin boleh mengganggu jadual belajar,” jelasnya.
Lelaki itu bagaimanapun mengakui tidak berani mengambil tempahan bagi jarak jauh atau di luar kampus kerana bimbang ditahan pihak berkuasa.
“Saya tahu kegiatan ini salah. Sepatutnya perlu ada lesen PSV. Jika jalan jauh, kena tahan sia-sia bayar denda RM2,000. Tapi setakat ini, tidak pernah lagi (ditahan),” katanya.
Bagi pelajar Nur, 22, dia melibatkan diri dalam aktiviti prebet sapu kerana mahu membantu pelajar perempuan yang tidak mempunyai kenderaan dan bergantung kepada pengangkutan awam.
“Kawan-kawan merungut bas lambat dan kadang-kadang penuh. Kasihan juga kepada mereka. Sekurang-kurangnya saya dapat bantu mereka,” katanya.
Sementara itu, pelajar, Nuraina memberitahu, dia tidak mempunyai pilihan lain kecuali prebet sapu kerana selesa selain caj yang dikenakan lebih murah dan boleh tawar-menawar.
“Saya rasa selamat kerana boleh pilih jantina pemandu semasa membuat tempahan apatah lagi waktu malam. Harga pula boleh dirunding berbeza dengan perkhidmatan e-hailing yang mana cajnya mahal terutama waktu puncak.
Jelasnya, perkhidmatan prebet sapu juga mudah didapati terutama dalam kampus.
“Nak masuk kampus pun mudah sebab kereta mereka ada pelekat jadi hanya perlu tunjuk kad pelajar,” jelasnya.
Seorang lagi pelajar, Nur Amirah berkata, selain bas, prebet sapu menjadi pilihan pada waktu terdesak biarpun mengetahui ia ‘haram’.
“Naik ‘prebet sapu’ rasa lebih selamat. Kebanyakan mereka adalah kakitangan dan pelajar universiti,” ujarnya.














