PETALING JAYA – Udang krai atau dikenali sebagai udang kara air tawar atau ‘lobster’ air tawar oleh masyarakat tempatan di sini, sebenarnya merupakan perosak kepada ekosistem negara.
Menerusi perkongsian video seorang pengguna TikTok @abg_ikan6945 memaklumkan, udang krai adalah pendatang dari Australia sekali gus perlu dilakukan pembasmian bagi menjaga ekosistem di sini.
Berdasarkan video yang dikongsikan lelaki terbabit, satu aktiviti pembasmian udang krai telah dilakukan oleh pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMP), penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta komuniti di Mukim Ayer Hitam, Muar di Johor melibatkan sebuah parit di kawasan itu.
“Masing-masing angkat bubu payung sebab nak selamatkan habitat di kawasan ini. Mereka akan pasang bubu di sini dan malam ini kita tengok hasilnya.
“Banyak dapat ni (udang krai), boleh buat niaga. Ini hasil yang pertama angkat, banyak lagi tak buka (bubu),” katanya pada video tersebut.
Perkongsian itu kemudian membuka mata serta mendidik orang ramai supaya menjaga ekosistem negara susulan kewujudan spesies udang krai dari Australia di sungai dan parit di negara ini.
“Macam mana boleh banyak kat dalam parit tu. Zaman saya kecil macam tak ada binatang ni,” komen Leo.
“Banyak betul kat Kampung Parit Kelantan dan Kampung Parit Arab ni (di Johor), Udang ni mengganggu habitan air tawar kita,” kata Joe Fizzow 88.
Selain itu ada juga yang berkongsi, udang krai tersebut sedap dimakan selain harganya juga boleh mencecah RM60 hingga RM80 sekilogram. – KOSMO! ONLINE