PETALING JAYA – Sejak kecil lagi, semua orang tahu bisnes goreng pisang antara yang paling popular diceburi ramai peniaga bumiputera bukan sahaja di kampung atau di bandar, malah ia dikenali ramai kerana menjana pendapatan yang baik kepada pengusahanya sepanjang musim setiap tahun.
Bagaimanapun, ramai pengusaha tidak menjenamakan goreng pisang dengan model bisnes yang lengkap, jadi ia sukar untuk mengembangkan sayap perniagaannya, malah ia akan kekal ‘tepu’ pada tahap konvensional.
Berbeza dengan jenama Goreng Pisang Crispy (GPC) yang dibangunkan di bawah rangkaian francais, ia kini telah memiliki 192 outlet di seluruh negara melalui modal serendah RM5,500.
GPC yang memberi peluang kepada pengusahanya menjual beberapa jenis makanan bergoreng khususnya pisang dan keledek serta makanan lain telah memberi peluang kepada usahawan kecil menjana pendapatan lebih RM600 sehari bergantung kepada beberapa faktor seperti lokasi dan jenis makanan serta air minuman yang dijual.
Untuk bisnes GPC, selain membayar royalti pada harga serendah RM5 sehari kepada francaisor dan sewa kios (bergantung kepada saiz) sebanyak RM300 sahaja, peniaga tersebut perlu membeli tepung goreng pisang khusus daripada francaisor sahaja.

Bersandarkan peluang potensi tersebut, seorang anak muda yang juga bekas pemain bola sepak Harimau Malaya, Mohamad Hisyamudin Mohamed Shaari, 37, telah menceburi perniagaan goreng pisang dengan membuka sebuah outlet GPC di Batu Caves sejak tiga bulan lalu.
Sebelum itu, pemain yang kali terakhir beraksi di bawah pasukan KL Rovers pada tahun 2022 telah mengoperasikan satu perniagaan mengimport pisang daripada syarikat Asia Global Ventures (AGV) dari Medan, Indonesia.
Tahun lalu, beliau telah dilamar oleh rakan lama sekolahnya, Malik Bahar yang juga pemilik syarikat AGV yang memiliki 100 hektar ladang tanaman pisang selain tanaman kontrak petani di kawasan tersebut terlibat dalam perniagaan tersebut.
“Bermodalkan RM50,000 bersama rakan kongsi, saya telah memulakan langkah awal dalam bisnes dengan menjadi pengimport pisang jenis abu nipah dari Medan melalui sokongan daripada Malik.

“Cabang bisnes utama ini dibangunkan oleh syarikat saya sendiri iaitu Sahabat Pisang Venture (Sahabat Pisang) yang kini memainkan peranan yang besar membekalkan pisang abu nipah kepada outlet sulung GPC miliknya.
“Kami juga membekalkan pisang kepada 10 pemborong utama dan juga lebih 50 peniaga goreng pisang secara runcit,” katanya ketika ditemui di outlet sulung GPCnya di Batu Caves baru-baru ini.
Menurut beliau, melalui komitmennya membekalkan stok pisang bernilai lebih daripada RM500,000 seminggu itu, Sahabat Pisang telah ‘menyelamatkan’ ramai pengusaha goreng pisang bersaiz kecil membeli stok daripada orang tengah pada harga yang lebih mahal.
Bapa kepada tiga orang anak ini juga berasa teruja dapat membantu ramai peniaga kecil menjana pendapatan lebih baik melalui model bisnes francais GPC, malah mahu melihat lebih ramai usahawan muda yang berminat untuk menceburi bidang berpotensi pada masa depan.
“Potensi GPC nampak luas dan saya akan membuka beberapa cawangan baharu pada masa depan, yang terbaharu adalah di Seremban dan juga di Terengganu.
“Saya dapati bisnes pisang ini sejak dari dulu lagi terus mendapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan tidak kira tua atau muda, orang Malaysia suka makan pisang dengan pelbagai cara masakannya termasuk dibuat kek, kerepek, digoreng dan lain-lain lagi,” ujarnya sambil mengucap syukur atas perolehan jualannya sehingga mencecah lebih RM100,000 sebulan.

Mohamad Hisyamudin mengakui pada fasa awal penceburannya dalam bisnes jualan pisang, beliau agak kekok tetapi tidak berasa malu dengan apa yang dilakukannya.
Kini, hasil usaha gigihnya mempelajari bidang jualan dalam masa yang singkat telah membolehkan beliau mampu mengendalikan jualan pisang lebih ribuan kilogram setiap minggu tanpa berdepan dengan sebarang masalah.
Memberi gambaran untuk ‘bersara’ daripada dunia bola sepak dengan minat yang masih mendalam di dalam hatinya membuatkan beliau mahu membantu lebih ramai atlet sukan khususnya bola sepak yang mahu menceburi bidang perniagaan berpotensi tersebut.
Dalam masa yang sama, beliau mahu menjadikan Sahabat Pisang sebagai pembekal utama pisang untuk pasaran tempatan pada masa depan. -KOSMO! ONLINE














