SUNTIKAN warna hitam pada hiasan dalaman mampu menaikkan seri pada sesebuah kediaman dan menyerlah aura elegan.
Hitam dalam apa pun kemasannya sama ada berkilat atau matte mampu memberikan sesebuah rumah tampak lebih berkarakter.
Begitu pun, hitam tidak seharusnya dijadikan sebagai warna utama, memandangkan ia boleh menjadikan ruang kediaman nampak lebih kecil dan sempit, sekali gus perlu bijak memadankannya.
Rona hitam berjaya memikat hati Putri Razak atau lebih mesra disapa sebagai Puteri untuk diterapkan pada kediaman teres dua tingkat miliknya yang dihuni sejak pertengahan 2022.
Puteri berkata, sejak mula mendiami kediamannya yang terletak di Rawang, Selangor itu, dia memilih tema cozy dan klasik yang disesuaikan dengan bajet.
“Proses renovasi rumah dibuat secara berperingkat.
“Semua progres rumah bergantung pada bajet, jadi kami tidak membuat renovasi penuh sejurus selepas mendapat kunci,” katanya.

Padanan rona gelap seperti hitam, kelabu pekat dan hijau zamrud pada kediaman Puteri menyatu cantik dengan dinding putih kediamannya.
Ruang tamu utama kediaman memikat dengan padanan beberapa rona berlawanan, namun tidak sedikit pun menjadikan kediaman itu tampak serabut.
Sofa besar rona kelabu cair dipadankan dengan langsir dan permaidani rona sama bagi mencipta kesenadaan.
Sebagai menyuntik elemen mewah, meja kopi dengan kaki berwarna emas menjadi pilihan Puteri untuk diletakkan pada ruangan tersebut.
Bagi menyuntik elemen semula jadi pula, Puteri dan suami turut meletakkan hiasan pokok-pokok hijau di sekitar ruang.
Sudut tepi tangga kediaman itu pula diserikan dengan dua unit kerusi rekaan moden berwarna kelabu.
Menurut Puteri, ruang itu pada asalnya merupakan ruang permainan buat kucing-kucingnya.
Begitu pun, memandangkan kucing-kucingnya tidak mengendahkan ruang tersebut dan tidak gemar bermain di situ, maka ia diberi suntikan baharu dengan hiasan serba ringkas.
Tema hitam dan putih yang dipilih turut diterjemah pada sebuah bilik yang dijadikan sebagai ruang solat.
Sofa, hiasan dan permaidani berwarna hitam diletakkan pada ruang solat yang dilatari dinding putih polos.
Biarpun ringkas, namun Puteri masih mahukan ia dihias dengan rona hitam pilihannya.
Menjengah ke ruang dapur kediamannya yang serba hitam, Puteri berkongsi bahawa ia pada asalnya bukanlah warna yang dimahukan buat ruang itu.
Namun, entah mengapa, warna hitam kemudiannya memikat hatinya, seterusnya dijadikan warna utama bagi dapur kediaman.
“Saya sebenarnya mahukan warna biru untuk dapur, namun entah mengapa ketika bertemu kontraktor rumah kami, saya tiba-tiba mahukan warna hitam pula,” kongsinya.
Hasilnya, dapur Puteri nampak kemas dan elegan, selain rona hitam menjadikan ia lebih mudah dijaga.














