fbpx
Hanya sebab hal-hal kecil seperti lambat memberi respons, Lin akan sering menjadi sasaran untuk ditampar dan ditendang suaminya yang panas baran. – Gambar hiasan

Malang bersuamikan si panas baran, lempang terajang jadi ‘makanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKAHWINAN dibina atas dasar cinta antara seorang wanita ingin dikenali sebagai Lin dengan suami tersayang yang disangka akan kekal sehingga akhir hayat cumalah satu mimpi baginya.

Mahligai perkahwinan yang mereka bina hanya bertahan lima tahun sebelum Lin mengambil keputusan nekad berpisah dengan suaminya itu.

“Satu kesilapan dalam kehidupan yang saya lakukan adalah mengambil keputusan untuk berkahwin dengannya.

“Sepanjang hampir lima tahun perkahwinan kami, sepak terajang menjadi ‘makanan’ saya dan suami saya sering memukul saya jika ada perkara yang tidak memuaskan hatinya,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.

Menceritakan tentang perkenalan mereka, Lin berkata, dia dan suaminya bercinta sejak di bangku persekolahan. Setelah kedua-dua mereka menamatkan pengajian di menara gading, mereka mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan.

Akui Lin, semasa menjalinkan hubungan percintaan, suaminya itu sebenarnya sudah menunjukkan ciri panas baran. Malah, ketika mereka bercinta, Lin sendiri pernah ditampar ketika bergaduh.

“Saya amat terkejut kerana dia sanggup menampar saya sedangkan ibu bapa saya sendiri tak pernah berbuat demikian.

“Ketika itu kami bergaduh kerana dia ada berkawan dengan perempuan lain yang akhirnya diketahui oleh saya.

“Saya cuma bertanya akan hal itu, secara tiba-tiba dia naik marah menuduh saya tidak mempercayainya dan sejurus itu dia menampar saya,” kongsinya kepada K2.

Tambahnya, dia kemudian memikirkan untuk memutuskan percintaan antara mereka tetapi lelaki itu pandai memujuk dan mengambil hatinya kembali.

Disebabkan sayang, Lin memberi peluang kepada suaminya itu dan mereka pun mendirikan rumah tangga.

Namun begitu, Lin berkata, selepas mereka berkahwin, suaminya itu kembali menunjukkan taringnya dan Lin sering menjadi mangsa.

“Apa yang boleh saya katakan suami saya ini selepas kami berkahwin dia memang cepat naik tangan. Kadangkala kami hanya gaduh disebabkan hal-hal kecil dan akhirnya dia akan menampar dan menendang saya. Hal kecil, misalnya saya lambat sikit respons apa-apa yang dia minta saya buat, terus saya ‘ditangankan’.

“Bayangkan baru enam bulan kami berkahwin dia sudah berani untuk memukul saya apabila kami berdua bergaduh,” terangnya.

Tambahnya, malah suaminya itu juga akan ketawa dan kelihatan puas apabila memperlaku dirinya sedemikian rupa.

Lin mengakui, setelah berkahwin dia semakin jelas sikap sebenar suaminya. Lelaki itu seorang yang baran dan mudah untuk marah jika ada perkara yang tidak memuaskan hatinya.

“Saya sendiri pernah melihat suami saya ini bergaduh dengan adiknya sendiri di rumah emak mentua saya.

“Mereka berdua siap bertumbuk satu sama lain sehingga bapa mentua saya perlu campur tangan untuk menyelesaikannya. Malah, emak mentua saya sendiri mengatakan suami saya itu sejak kecil memang berperangai begitu dan sering bergaduh dengan ahli keluarga lain jika dia tidak berpuas hati,” ujar Lin.

Ibu mentua Lin juga ada meminta dia bersabar dan elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang membuatkan suaminya marah.

Akui Lin, sepanjang perkahwinan mereka, dirinya amat tertekan mental dan fizikal kerana suaminya itu sering memarahinya dan menyakiti dirinya.

Sampailah satu ketika, Lin sudah tidak tahan dan dia lari pulang ke rumah keluarganya.

“Saya tidak ceritakan apa yang suami saya lakukan kepada keluarga saya, tetapi abang saya mengesyaki saya dipukul. Saya hanya memberitahunya saya terjatuh ketika bertengkar.

“Namun suami saya datang ke rumah ibu bapa saya memujuk untuk saya kembali ke rumah dan dia meminta maaf. Kerana sayang akan dirinya saya memaafkannya dan pulang bersamanya,” katanya yang masih belum dikurniakan cahaya mata.

Pun begitu, beberapa bulan selepas itu, kejadian sama berulang. Lin dipukul suaminya ketika mereka bergaduh. Saat itu, dia sudah tawar hati dengan suaminya dan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarganya dan menceritakan hal rumah tangganya.

“Abang saya meminta saya untuk bercerai dengan suami dan dia menyatakan bahawa saya tidak perlu hidup dengan lelaki baran seperti itu.

“Ahli keluarga lain juga bersetuju cadangan abang. Setelah berfikir panjang, saya nekad untuk berpisah dengannya. Saya tak tahan lagi dengan perangainya yang panas baran dan mudah naik tangan walaupun dia bukanlah seorang jenis mengongkong atau menghalang saya ke mana-mana.

“Dia ada datang pujuk saya dan mengatakan dia sayang dan berjanji tidak ulanginya, tetapi saya tidak bertemu dengannya, abang saya yang bercakap dengannya,” jelas Lin.

Lin nekad dengan keputusannya dan mengemukakan permohonan cerai. Mereka berdua akhirnya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN