JENAMA smart pernah popular di negara kita suatu ketika dahulu dengan dua model kereta biasa iaitu Fortwo dan Forfour.
Bagaimanapun, penulis difahamkan pada ketika ini jenama tersebut hanya mengeluarkan kenderaan elektrik (EV).
Pada bulan November tahun lalu pengedarnya di Malaysia, Pro-NET Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Proton telah melancarkan model #1 yang merupakan EV.
Ketika pelancaran itu, tiga varian ditawarkan terdiri Pro, Premium dan Brabus pada harga bermula RM189,000.
Model #1 ini menggunakan platform Sustainable Electric Architecture (SEA) yang dibangunkan Geely dan turut digunakan pada model lain seperti Lotus Eletre dan Polestar.
Baru-baru ini, penulis telah diberi peluang untuk memandu uji varian Brabus selama beberapa hari untuk merasai pengalaman pemanduan sebenar model ini.
Ketika sesi pandu uji itu, penulis turut dibekalkan dengan aplikasi Hello smart untuk memudahkan urusan seperti mengecas dan lokasi tempat mengecas.
Dalam pada itu, aplikasi ini juga berfungsi sekiranya kita mahu memeriksa bateri kereta dan jarak perjalanan selain mengunci, membuka but dan membunyikan hon.
Pada saya aplikasi ini sangat membantu kerana boleh dilakukan dalam satu aplikasi sahaja terutamanya untuk mengecas.

Sepanjang beberapa hari menggunakan EV berprestasi ini, penulis menggunakan aplikasi ini dua kali untuk mengecas. Prosesnya juga mudah.
Varian Brabus direka untuk peminat kenderaan berprestasi tinggi jadi tidak mustahil EV ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 3.9 saat.
Kuasa itu terhasil kerana smart #1 Brabus ini menggunakan Dual-motor All-Wheel-Drive yang mempunyai kuasa maksimum 315kWh dan tork tertinggi 543Nm. Mengikut WLTP, model ini mampu bergerak sehingga 400 kilometer (km) dengan pengecasan penuh.
Dari segi saiz, #1 mempunyai ukuran panjang 4,270 milimeter (mm), lebar (1,822mm), tinggi (1,636mm) dan jarak antara roda (2,750mm).
Selain itu, smart #1 ini mempunyai rekaan luaran menarik dengan kit badan tersendiri antaranya logo Brabus selain sebelah atas bampar depannya ada dua lubang ‘tipu’ yang nampak sporty. Jeriji untuk varian ini berwarna merah.

Penggunaan rim Dynamo bersaiz 19 inci dengan tayar 235/45 dan brek kaliper berwarna merah menyerlahkan bahagian sisi kereta ini.
Bampar belakang mempunyai isyarat yang sama seperti rekaan hadapannya iaitu jalur merah, dua garis hitam kecil dan logo Brabus kecil.
Spoiler belakang yang lebih menonjol juga melengkapkan perbezaan luaran berbanding dua varian lain.
Masuk ke ruang kabin, elemen mewah dan sporty jelas terasa kerana kemasan dalaman Brabus yang premium sporty. Tempat duduk pemandu dan penumpang depan sporty dengan balutan ultra suede dan boleh dilaras 10 tahap. Bahagian penumpang belakang juga luas dan penulis boleh bersilang kaki.

Selain itu, varian ini juga hadir dengan sistem audio Beats 13 speaker.
Paling penulis suka berkenaan model ini kerana jika inginkan bunyi yang sesuai dengan kelajuan, pemandu boleh memilih bunyi yang diilhamkan oleh enjin V6 yang sangat berkuasa. Baru tidak bosan memandu EV!
Kesimpulannya, pada saya smart #1 Brabus ini hadir dengan karakter tersendiri dan menawarkan ciri-ciri yang unik berbanding EV lain.
Tawaran aplikasi Hello smart juga bagus kerana kita boleh memantau status dan mengendalikan EV ini melalui satu aplikasi sahaja.
















