fbpx

Rumah terbakar, warga emas tak sempat selamatkan wang bantuan JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sakeh menunjukkan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Alor Che Ismail, Tumpat malam tadi. FOTO ROHANA ISMAIL

TUMPAT – Seorang warga emas terkilan apabila tidak sempat menyelamatkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan duit raya sebanyak RM1,000 selepas rumahnya di Kampung Alor Che Ismail di sini terbakar malam tadi.

Kejadian pukul 10.30 malam itu menyebabkan mangsa, Sakeh Daud, 69, kini tinggal sehelai sepinggang.

Sakeh berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi letupan kecil dari arah dapur semasa sedang memberi makan kucing peliharaannya di luar rumah.

Menurutnya, dia kemudian terus bergegas masuk bahagian dapur mendapati api sudah marak membakar dinding.

“Saya berusaha memadam kebakaran itu, namun gagal kerana api marak dengan cepat. Pada masa sama, saya turut meminta bantuan, tetapi jeritan tidak didengari jiran.

“Satu letupan berlaku dalam rumah membuatkan anak saudara yang tinggal berhampiran datang membantu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Sakeh memberitahu, dia sempat mencapai telefon yang berada diruang tamu sebelum menyelamatkan diri.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Mohd. Zin Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.52 malam sebelum 17 orang pegawai dan anggota dari tiga buah balai bergegas ke lokasi kejadian.

“Semasa anggota bomba tiba, rumah tersebut sudah terbakar 90 peratus. Punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI