MADRID – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui lega apabila anak-anak buahnya terus mempamerkan aksi lima bintang apabila mudah menewaskan Alaves 5-0 dalam aksi La Liga di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, skuad The Galacticos meraih gol menerusi jaringan Jude Bellingham, Vinicius Jr (dua gol), Federico Valverde dan Arda Guler sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam 30 perlawanan.
Kata Ancelotti, prestasi konsisten yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya wajar mendapat pujian selain yakin ini adalah musim peribadi terbaiknya sejak menjadi pengendali Real.
“Saya percaya kita perlu terus fokus raih kemenangan kerana baki perlawanan kali ini boleh dianggap sebagai aksi pemanas badan sebelum mengharungi final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dua minggu lagi.
“Secara jujur, saya anggap ini adalah musim terbaik saya bersama Real kerana kami memiliki kombinasi pemain yang seimbang dengan kehadiran tonggak senior serta muda dan layak untuk bergelar juara liga,” katanya.
Sementara itu, Ancelotti mengakui masa depan pemain berpengalaman, Toni Kroos selepas kontraknya bakal berakhir pada penghujung musim nanti masih belum diputuskan oleh pihak pengurusan.
“Saya tidak pasti mengenai kontrak Kroos kerana fokus pasukan ketika ini adalah mengharungi final UCL. Jika kita mampu menang UCL dan Kroos cemerlang bersama Jerman pada EURO bulan depan, mungkin dia boleh meraih gelaran Ballon d’Or walaupun agak mustahil,” katanya. – AGENSI