fbpx

Guna besi perancah ‘usang’, CIDB kompaun pemaju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memeriksa pekerja warga asing di tapak pembinaan, di Jalan Pekeliling Lama, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR -Penggunaan berulang kali besi perancah (A-Frame) sehingga ada yang berkarat antara kesalahan yang dikesan menerusi serbuan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sebuah tapak pembinaan di Jalan Pekeliling Lama, di sini, hari ini.

Operasi bersepadu bermula pukul 9 pagi itu turut membabitkan Jabatan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaaan (JKKP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Wartawan Kosmo! yang mengikuti serbuan mendapati mendapati terdapat beberapa perancah besi digunakan sebagai penyangga dipercayai mampu menimbulkan bahaya di tempat pembinaan.

Selain itu, terdapat beberapa pekerja warga asing yang tidak terlatih didapati ditugaskan untuk membuat pekerjaan di luar kepakaran mereka seperti membancuh simen.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak 174 lawatan tapak dilakukan membawa kepada pembukaan 91 kertas siasatan sepanjang tahun ini sehingga April.

Jelas beliau, antara kesalahan ketara di tempat pembinaan adalah penyalahgunaan besi perancah dan kontraktor tidak berdaftar dengan CIDB.

“Tindakan yang dikenakan terhadap kesalahan dilakukan akan dibuat mengikut bidang kuasa agensi masing-masing untuk dipertimbangkan, macam JKN ada kesan empat tempat pembiakan nyamuk aedes dan pihak Imigresen ada buat semakan pada pekerja warga asing.

“Dengan adanya serbuan mengejut ini, diharapkan dapat menyampai mesej kepada pemain industri agar mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Mohd Zaid Zakaria berkata, lawatan di tapak pembinaan turut menemui beberapa besi perancah yang berkarat serta tidak berkualiti digunakan untuk kerja pembinaan.

“Struktur besi yang tidak berkuali boleh menyebabkan ia patah, perancah ini sepatutnya digunakan hingga tiga kali sahaja, banyak kejadian di tapak pembinaan berlaku disebabkan besi perancah dijadikan untuk menampung beban konkrit.

“Jika beban terlampau berat ia akan jatuh dan mengakibatkan kehilangan nyawa pekerja seperti yang berlaku baru-baru ini di Batu Kawan, Pulau Pinang,” katanya.

Tambah beliau, ketamakan segelintir pemaju enggan mengeluarkan duit membeli besi perancah yang baharu antara punca perancah besi lama masih digunakan sampai sekarang.

“CIDB akan keluarkan arahan untuk projek pembinaan berhenti seketika dan pastikan bahan binaan yang disalahguna ini dibawa keluar dari tempat pembinaan,” katanya.

Jelas beliau, antara tindakan diambil membabitkan notis N2/2015 kepada pemaju untuk mengemukakan maklumat mengenai industri pembinaan (kontraktor).

Diikuti dengan notis N3C/2015 mengarahkan untuk memberhentikan kerja pembinaan dan notis N10/2015 kesalahan pendaftaran akreditasi dan latihan personel binaan.

Seterusnya, notis N11/2020 dan notis N12/2015 atas kesalahan di bawah subseksyen 33D(1) (bahan binaan).-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI