KECOH gerakan Blockout 2024 dalam media sosial! Itu tidak dinafikan dan memang selayaknya ada kempen sebegitu.
Cuma, nak tahu apa yang paling tidak layak diproses otak manusia dewasa yang sesungguhnya waras, termasuk penulis adalah kenyataan, entah gurauan kebodohan tidak berselindung seorang penyanyi yang sanggup bertanyakan siapa Rafah, ‘who’s that?’ katanya.
Sungguh ‘biadab’ kedangkalan itu. Nasihat untuk orang sebegitu, silalah pergi jadi artis di negeri pasir berdengung!, Persoalannya kenapa wujud insan sebegitu dan kenapa kebodohan tidak layak itu ada ketika dunia sudah terbuka dengan segala maklumat percuma kini.
Untuk kesekian kali ini, bagi yang mungkin kurang peduli, di sini diberikan sedikit informasi tentang kempen Blockout 2024. Kempen berkenaan dimulakan seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @ladyfromtheoutside bagi menzahirkan sokongan kepada Palestin.
Baginya, selebriti dan pempengaruh media sosial yang tidak bersuara tentang kekejaman Zionis dan sekutu, layak disekat (block) dan tidak diikuti (unfollow) dalam media sosial. Biarpun tak nampak, tindakan ‘unfollow’ dan ‘block’ dalam media sosial mampu beri impak buat selebriti yang bekerjasama dengan produk ‘sekutu’ Zionis.
Sebenarnya isu sekat atau ‘unfollow’ artis yang sekadar berdiam tentang kekejaman di Palestin sudah berlangsung sejak bermulanya serangan Israel ke atas Gaza tahun lalu, cuma kempen Blockout 2024 menjadi besar-besaran saat penganjuran Met Gala yang langsung tidak mempamerkan kesedaran para artis ‘gila fesyen’ di majlis berkenaan terhadap kekejaman Zionis kini yang semakin rakus lapar darah Palestin.
Jadi dari situlah kempen Blockout 2024 marak sehingga nama-nama seperti Kim Kardashian, Taylor Swift, Beyonce, Kylie Jenner, Zendaya, Miley Cyrus, Selena Gomez, Khloe Kardashian, Doja Cat, Demi Lovato dan ramai lagi diboikot hinggga mengakibatkan kehilangan jutaan pengikut.
Pantas merebak, isu Blockout 2024 menjadi hangat apabila sebuah akaun Instagram @blockout2024my mengeluarkan senarai puluhan artis tanah air yang layak diboikot gara-gara tindakan bersekongkol dengan jenama menyokong Zionis.
Nampak biasa tetapi ramai panas punggung. Ada yang dahulu bukan main lantang kemudian lama berdiam, kembali bercakap fasal Palestin. Ada juga yang tampil minta maaf kerana sokong jenama berkaitan Zionis demi hutang kontrak macam Nadhir Nasar. Daiyan Trisha pula siap keluarkan resit derma ratusan ribu kepada Palestin. Masing-masing pertahankan periuk nasi sendiri!
Kemudian, yang tukang palu gendang perang, siram minyak jadi terpaling menyelar pasukan boikot pun ramai juga muncul. Ada juga yang kena kecam sampai digelar kafir.
Caci maki pula kerja netizen. Apa pun, semua orang kena rasional. Nak boikot produk atau individu yang dilihat makan, pakai atau promosi produk berkait Zionis, teruskan main peranan dengan bijak.
Jangan mulut dan jari saja cakap boikot ‘unfollow’ tapi diam-diam minat juga, yang kaya mereka, yang sakit hati, kalian. Jangan hangat-hangat tahi ayam saja. Cuma nak cakap, tak miskinlah artis kalau puasa sekejap daripada tayang barang jenama mewah dalam media sosial.














