RAUB – Seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang melalui episod hitam dalam hidupnya apabila menderita penyakit kaki gajah selepas digigit pacat hijau ketika bermalam di hutan dalam satu operasi pada 2018.
Mohd. Zulkifli Zainal, 41, berkata, dia tidak menyangka kaki kirinya terus membesar hingga mencapai berat 90 kilogram selepas merasa gatal akibat digigit spesies tersebut.
Mengimbau semula kejadian itu, Mohd. Zulkifli berkata, sejak kejadian dia sering demam dan sukar bergerak hingga mengganggu rutin hariannya.
Katanya, ketika digigit, kakinya mula berasa gatal dan bengkak berair dan keadaan lebih teruk pada 2021 apabila dia sukar berjalan.
“Saya terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan mengambil ubat, namun sehingga kini kaki saya terus membesar dan sering demam.
“Sehingga kini tiada apa-apa ketetapan daripada doktor untuk melakukan pembedahan menyebabkan saya buntu dan tertekan,” katanya di sini semalam.
Menurut Mohd. Zulkifli, dia membuat keputusan untuk melakukan pembedahan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur selepas mendapat nasihat daripada bekas pesakit kaki gajah yang mendapatkan rawatan di situ.
Bagaimanapun tambahnya, dia berdepan kekangan apabila kos pembedahan mencecah RM80,000 dan belum ditambah dengan belanja lain.
“Doktor di hospital itu menangguhkan pembedahan hingga dana dapat dikumpulkan. Sekarang baru ada RM50,500 sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang dan kerajaan negeri,” katanya.
Ujar Mohd. Zulkifli, dia kini menetap di kuarters Jabatan Perhutanan dan hanya mengharapkan pendapatan bulanan bagi meneruskan kehidupan bersama isteri dan seorang anaknya.
Katanya, isterinya yang merupakan suri rumah terpaksa menguruskan aktiviti hariannya termasuk menghantar dan mengambilnya di Pejabat Perhutanan memandangkan dia tidak boleh lagi memandu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd. Zulkifli di talian 017-885 5729 atau menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB miliknya di 7035954322.















