Bermula dengan sebuah motosikal kapcai EX5, gadis Pesona Ahad minggu ini, Wan Hazwani Husna Wan Daud, 25, mengakui minat mendalam terhadap motosikal berkuasa tinggi membuatkan dirinya tidak gentar berada di atas jalan raya walaupun pernah tiga kali terlibat dalam kemalangan.
Perkongsian rutin harian Wan Hazwani Husna atau mesra disapa sebagai Hazwani, bersama motosikal kesayangan di media sosial, memberi inspirasi kepada wanita di luar sana yang mempunyai minat sama.
Kepada Kosmo! Ahad gadis manis kelahiran Pulau Langkawi, Kedah ini berkongsi tentang minatnya itu kepada umum.
KOSMO! AHAD: Ceritakan tentang diri anda, keluarga, pendidikan, kerjaya dan karakter?
HAZWANI: Saya merupakan anak keempat daripada enam orang adik-beradik, memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat Pengurusan Rekod, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan bekerja sebagai Project Document Controller dalam industri tenaga solar.
Selain itu, saya juga aktif menjadi pempengaruh di media sosial dan memiliki perniagaan kecil pakaian Muslimah.
Bagaimana minat terhadap motosikal berkuasa tinggi boleh timbul?
Minat ini diwarisi daripada kedua-dua ibu bapa yang sangat ‘menggilai’ hobi sama. Sejak remaja, saya telah diperkenalkan dengan pelbagai jenis motosikal bermula daripada skuter, motosikal bergear hinggalah ke motosikal jenis klac.
Lama kelamaan, minat terhadap motosikal besar timbul dengan sendiri.

Koleksi motosikal yang dimiliki?
Perjalanan saya bermula dengan Honda EX5 pemberian bapa, kemudian menabung sikit-sikit untuk dapatkan motosikal Honda Wave. Selepas itu berjaya mendapatkan Honda RSX150.
Alhamdulillah, kini saya berjaya miliki sebuah kereta dan dua buah sportbike, Yamaha R15 dan Yamaha MT-15. Sepanjang mengendalikan ‘kuda besi’ ini, saya pernah ditimpa kemalangan sebanyak tiga kali dan hanya mengalami luka ringan.
Cabaran membawa imej wanita Muslimah di samping bermotosikal kuasa tinggi?
Penerimaan yang sangat baik saya terima terutamanya dari golongan wanita sehinggakan ada yang jadikan saya sebagai idola dan inspirasi mereka dalam mengejar impian memiliki motosikal berkuasa tinggi.
Kata-kata negatif yang pernah diterima?
Saya pernah terima komen negatif daripada pengikut yang berasal dari negara Arab, itu perkara biasa, kerana budaya mereka tidak menggalakkan wanita berketrampilan ganas, apatah lagi membawa motosikal berkuasa tinggi.
Bagaimana istiqamahkah diri untuk kekal berpakaian menutup aurat walaupun menunggang motosikal?
Menutup aurat tidak pernah menjadi masalah kerana ia bukan sahaja wajib, malah dapat melindungi diri mengalami sebarang luka teruk jika berlaku kemalangan.
Apa sasaran dalam hidup anda yang belum dicapai?
Alhamdulillah, hampir semua impian saya berjaya dicapai namun sasaran tahun ini mahu tunai umrah dan bercuti di luar negara.
















