fbpx

Ahli perniagaan dijel 4 tahun tipu pengurus undang-undang Jakel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menipu pengurus undang-undang Jakel Trading Sdn. Bhd. membabitkan kerugian berjumlah RM400,000, lima tahun lalu.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mohamed Noor Mohamed Amin, 51, di akhir kes pembelaannya.

“Setelah mendengar keterangan, mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Oleh yang demikian, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan-pertuduhan dihadapinya,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan pertama serta penjara empat tahun untuk pertuduhan kedua dan ketiga. Bagaimanapun kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan secara serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Noor didakwa menipu pengurus undang-undang Jakel Trading, Aiman Dazuki, 34, dengan memperdayakannya dalam urusan pembelian saham syarikat yang tidak wujud sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan wang berjumlah RM400,000 yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Perbuatan itu dilakukan di pusat beli-belah Jakel di Jalan Munshi Abdullah, Dang Wangi, di sini, pada 15 April hingga 12 Jun 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh didenda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan melibatkan jumlah kerugian yang besar.

Mohamed Haniff Khatri, yang mewakili tertuduh pula memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan menghidap penyakit tumor.

Pada 8 November 2023, Mohamed Noor diperintahkan membela diri atas tiga pertuduhan itu.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan termasuk tertuduh memberikan keterangan dalam perbicaraan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI