fbpx

Richiamo Mart sasar pasarkan 70 peratus produk tempatan, nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Najib (dua dari kanan) bersama Armizan (tengah) pada Majlis Pelancaran Pertama Richiamo Mart di Bangi hari ini. Foto oleh IQBAL RUSLI/KOSMO!

BANGI- Richiamo Mart Sdn. Bhd. (Richiamo Mart) menyasar untuk memasarkan sehingga 70 peratus produk keluaran tempatan selain jenama nasional menerusi rangkaian kedai serbaneka yang dibuka secara berperingkat di seluruh negara.

Pengarah Urusan Richiamo Mart, Wan Najib Wan Daud berkata, buat masa ini, pihaknya memasarkan sebanyak 16 produk Bumiputera menerusi pembukaan cawangan pertama mereka di Bangi, Selangor.

“Kita ada 16 produk Bumiputera ketika ini dan mahu jadikan Richiamo Mart sebagai platform memasarkan produk tempatan memandangkan produk itu agak sukar untuk memasuki kedai yang lain.

“Sekarang ini, 30 hingga 40 peratus produk di Richiamo Mart adalah produk Bumiputera, jadi sasaran kita ialah antara 60 hingga 70 peratus (kemasukan produk tempatan),” katanya kepada pemberita pada Majlis Pembukaan Richiamo Mart Pertama di Bangi hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali.

Mengulas lanjut, Wan Najib berkata, pihaknya juga mahu menarik semua produk tempatan yang ada seterusnya membantu memasarkannya menerusi rangkaian Richiamo Mart seluruh negara.

Katanya, antara syarat ditetapkan Richiamo Mart bagi membolehkan produk Bumiputera dipasarkan di rangkaian mereka termasuklah memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Selain itu, produk itu perlu memiliki cop daripada Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

“Jika semua syarat dietapkan memenuhi kehendak, maka kami akan berikan peluang untuk pasarkan produk mereka,” katanya.

Pada masa sama, Wan Najib berkata, pihaknya juga meletak sasaran untuk membuka sehingga 15 cawangan Richiamo Mart di seluruh negara pada tahun ini.

“Dalam tahun ini sahaja, kira-kira tujuh cawangan telah berikan komitmen untuk dibuka masing-masing melibatkan kawasan di Melaka, Seremban, Alor Setar, Johor Bharu, Rawang serta di Menara Matrade di Kuala Lumpur.

“Kita sasarkan antara 10 hingga 15 cawangan dibuka tahun ini dengan sasaran pendapatan bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI