fbpx

Restoran di Jepun buang 25 set nasi lemak, kena tipu ejen dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah restoran di Shibuya, Tokyo, Jepun terpaksa membuang 25 set nasi lemak gara-gara ejen pelancongan dari Malaysia membatalkan tempahan tanpa memaklumkan kepada mereka. - Foto Facebook Sou Tanaka

PETALING JAYA – Sebuah restoran di Jepun yang menghidangkan makanan tradisi rakyat Malaysia terpaksa membuang 25 set nasi lemak gara-gara seorang ejen pelancongan dari Malaysia membatalkan tempahan tanpa memaklumkan kepada mereka.

Kejadian itu dikongsikan oleh pekerja restoran tersebut, Sou Tanaka pada hantaran Facebook di dalam bahasa Jepun, yang kemudiannya dijelaskan oleh Kamal Zharif Kamaludin iaitu rakyat Malaysia yang menetap di Jepun.

“Bagi yang datang ke Jepun, pastikan kalian datang ke restoran setelah menempah meja (booking). Di bawah ini kes restoran makanan Malaysia di Shibuya, Tokyo yang menerima tempahan meja oleh seorang ejen pelancongan Malaysia. Dia tidak telefon semula restoran untuk batalkan tempahan.

“Pengakhirannya, restoran itu tunggu dan tunggu tanpa sebarang khabar berita. Pihak restoran terpaksa membuang begitu sahaja set nasi lemak untuk 25 orang,” katanya dalam hantaran tersebut.

Kamal Zharif turut menjelaskan mengenai salah satu perkara yang perlu dielakkan apabila membuat tempahan tempat duduk di restoran menerusi budaya orang Jepun.

“Boleh katakan ia adalah salah satu ‘redflag’ di Jepun, lagi-lagi ruang meja adalah terhad dan bukan luas seperti di negara-negara lain.

“Akhirnya, cara sebegitu akan jatuhkan kepercayaan orang Jepun dan akan jatuhkan air muka ejen pelancongan yang penat-penat membuat tempahan restoran.

“Jadi, apabila menerima klien yang suka-suka batalkan tempahan walaupun dia sendiri sudah tiba di depan pintu restoran sama, kita perlu beritahu kepada ejen pelancongan lain supaya tidak ambil lagi klien itu. Sungguh penting untuk kita tahu ketika berada di Jepun,” katanya.

Hantaran asal Sou Tanaka dalam bahasa Jepun berhubung 25 set nasi lemak terpaksa dibuang ekoran ejen pelancongan dari Malaysia membatalkan tempahan tanpa memaklumkan kepada mereka.

Sementara itu, menerusi hantaran asal Sou Tanaka, ramai rakyat Malaysia marah dengan tindakan ejen pelancongan tersebut selain memohon maaf kepada lelaki berkenaan.

“Sangat teruk ejen pelancongan ni. Buat aduan kepada Pejabat Tourism Malaysia, saya sangat marah dan sedih baca story anda berkenaan ejen pelancongan tak bertanggungjawab,” kata Tarmizi Rahman.

“Memalukan Malaysia saja. Kalau tak reti bertanggungjawab jangan buat bisnes lain kali. Duduk diam-diam di rumah tak susahkan orang. Minta maaf kepada restoran itu dan bayar kerugian mereka,” komen Syafiq Fadzli.

“Mohon jangan salahkan Malaysia. Ia bukan sebab negara, tapi sikap individu,” kata Abdul Rashid Abdul Manaf.

Malah, rakyat Malaysia turut melepaskan kemarahan melalui akaun media sosial dipercayai ejen pelancongan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI