fbpx

1,324 syarikat terlibat DSA 2024, NATSEC ASIA 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled diiringi Saifuddin Nasution melihat aset pameran yang dipamerkan sempena DSA2024 dan NATSEC2024 di MITEC. Foto AMIR KHALID/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,324 syarikat daripada 60 buah negara mengambil bahagian dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 (DSA 2024 & NATSEC ASIA 2024) yang berlangsung bermula esok sehingga 9 Mei di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, edisi kali ini menyaksikan sebanyak 34 kumpulan pavilion negara terbesar seperti Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Itali dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, bertemakan “Membina Ketahanan Negara Untuk Generasi Masa Hadapan”, pameran itu memberikan fokus kepada pembangunan industri pertahanan negara serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

“Kita tidak dapat menafikan betapa pentingnya kita mengadakan pameran ini dan kita dapat lihat bahawa terdapat peningkatan dan kemajuan dibandingkan dengan penganjuran terakhir pada tahun 2022.

“Penyertaan bersama ke dua-dua Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ini sekali lagi mengesahkan komitmen teguh kerajaan untuk memacu agenda pertahanan dan keselamatan ke hadapan baik di dalam negara mahupun di pentas global,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat persiapan akhir pameran tersebut di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, keluasan tapak pameran pada tahun ini adalah 30 peratus lebih besar berbanding edisi sebelumnya yang meliputi seluas 48,000 meter persegi.

“Selain itu, didapati ada peningkatan dari segi penyertaan delegasi daripada negara-negara luar di mana terdapat sebanyak 400 delegasi VVIP dari lebih 50 negara dan juga wilayah.

“Buat pertama kalinya pameran ini disertai oleh negara UAE, Iran dan juga Singapura,” katanya.

Katanya, kehadiran dan sokongan kerajaan adalah satu komitmen untuk memastikan bukan sahaja pameran itu berjaya tetapi turut merupakan satu tarikan di rantau ini bagi sektor pertahanan dan juga keselamatan dalam negara.

“Kita tahu bahawa perbandingan dibuat dan kedudukan kita berbanding dengan negara-negara yang lain dan saya berharap melalui apa yang kita pamerkan pada tahun ini, akan dapat meningkatkan lagi kedudukan,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pameran tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam mendukung program seperti ini yang memberi manfaat besar kepada negara dan rakyat.

“Pameran ini akan menjadi platform pertemuan yang memenuhi pra syarat untuk menjadikan DSA 2024 dan NATSEC ASIA 2024 sebagai acara antarabangsa yang sangat bermakna dalam jadual penganjuran acara-acara besar yang di tuan rumahkan oleh negara.

“Di sinilah nantinya kita akan menyaksikan kehadiran pelbagai pemain industri, pimpinan-pimpinan negara asing, pemimpin industri yang nanti akan menjadi platform bukan sahaja mempamerkan segala macam teknologi dan peralatan tetapi untuk menguruskan cabaran dalam bidang keselamatan dan pertahanan yang semakin kompleks dan dinamik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI