fbpx

UCL: PSG enggan mengaku kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KYLIAN Mbappe (kiri) yang mengetuai jentera serangan PSG gagal merobek gawang Dortmund ketika mereka tewas di Signal Iduna Park awal pagi semalam. - AFP

DORTMUND – Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique tidak akan sesekali mengibarkan ‘bendera putih’ selepas menyaksikan pasukannya tewas 0-1 kepada Borussia Dortmund pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi semalam.

Menurut Enrique, masih ada 90 minit baki perlawanan yang perlu ditempuhi oleh anak-anak buahnya selain kelebihan beraksi di laman sendiri yang perlu dimanfaatkan pada aksi kedua nanti.

“Anda boleh lihat perlawanan kali ini agak sengit kerana kedua-dua pasukan mahu bermain bola sepak moden selain berusaha untuk melakukan penguasaan bola melebihi pasukan lawan.

“Saya rasa kualiti antara kedua pasukan agak seimbang kerana kita juga mencipta banyak peluang keemasan, tetapi apa yang membezakan adalah mereka berjaya menjaringkan satu gol, manakala kita pula gagal.

“Namun, saya tidak mahu menyalahkan barisan pemain kerana mereka sudah berusaha sebaik mungkin dan kita hanya tewas nipis.

“Saya jangkakan aksi di Paris nanti akan menjadi berbeza kerana kita perlu mencipta jumlah peluang yang sama, tetapi pemain perlu bertanggungjawab untuk lunaskan setiap peluang yang ada,” katanya.

Sementara itu, kapten PSG, Marquinhos mengakui rakan-rakan sepasukan sudah cukup matang untuk belajar daripada pengalaman kerana ini bukanlah kali pertama pasukan ketinggalan pada aksi kalah mati UCL.

“Kami pernah ketinggalan lebih daripada keputusan 0-1 pada aksi kalah mati sebelum ini, tetapi barisan pemain sudah buktikan bahawa tiada apa yang mustahil memandangkan masih ada 90 minit perlawanan.

“Saya percaya kita boleh jadi pasukan yang berbeza apabila beraksi di laman sendiri dan di hadapan penyokong setia dalam usaha melangkah ke pentas final musim ini,” kata tonggak antarabangsa Brazil itu.

Sebagai rekod, PSG tidak pernah menjuarai trofi UCL sepanjang sejarah dengan pencapaian terbaik hanya bergelar finalis pada edisi 2022 ketika tewas kepada Bayern Munich di pentas final. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI