fbpx

Piala Thomas: Malaysia mara ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN Sze Fei (kanan) dan Izzuddin menjadi wira pasukan negara apabila menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia ketika menewaskan Jepun. - SABRI HASSAN/BAM

KUALA LUMPUR – Misi Malaysia memburu kejuaraan pada Saingan Piala Thomas 2024 di Chengdu, China diteruskan selepas skuad badminton lelaki negara melayakkan diri ke separuh akhir.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Pusat Sukan Hi-Tech Zone sebentar tadi, Malaysia memastikan kemaraan ke pusingan empat pasukan terbaik selepas menang 3-1 ke atas juara edisi 2014, Jepun.

Malaysia memulakan aksi suku akhir itu dengan langkah positif apabila jaguh perseorangan, Lee Zii Jia meletakkan pasukan negara 1-0 di depan selepas mudah menewaskan Kenta Nishimoto 21-13, 21-3.

Bagaimanapun, rentak kemenangan itu gagal diteruskan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tewas 21-18, 14-21, 19-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sekali gus membolehkan Jepun menyamakan kedudukan 1-1.

Leong Jun Hao yang turun selaku perseorangan kedua kembali meletakkan Malaysia 2-1 di depan selepas menampilkan aksi cukup meyakinkan ketika membenam Koki Watanabe dengan keputusan straight set 21-13, 21-10.

Malaysia melengkapkan kemenangan 3-1 untuk meneruskan kemaraan ke separuh akhir apabila pasangan naib juara Asia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencatat kemenangan 18-21, 21-15, 21-12 ke atas Akira Koga-Taichi Saito.

Lebih manis, keputusan itu turut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin melakar kemenangan pertama ke atas beregu No.16 dunia tersebut selepas mereka tewas dalam kesemua tiga pertemuan sebelum ini.

Menanti Malaysia di separuh akhir nanti adalah pasukan tuan rumah, China yang turut melakar kemenangan 3-1 ke atas juara bertahan, India.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mendakap trofi teragung itu adalah 32 tahun lalu ketika menewaskan Indonesia 3-2 di perlawanan akhir pada edisi 1992 yang berlangsung di Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI