fbpx

Pejabat MB Perlis mungkin akan ada pegawai SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shukri (tengah) bergambar bersama Exco kerajaan negeri di Kompleks DUN di Kangar, hari ini.

KANGAR – Kerajaan negeri Perlis bercadang meletakkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat Menteri Besar (MB) Perlis bagi meningkatkan integriti dan urus tadbirnya.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan Unit Integriti khususnya di pejabat MB Perlis melibatkan penempatan pegawai SPRM tersebut.

“Cadangan ini disyorkan sendiri oleh SPRM dan di pihak kerajaan sememangnya wujud cadangan sedemikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri sejak penggal lalu.

“Saya akan berbincang dengan Exco mengenai baik buruknya penempatan pegawai SPRM, selain menilai implikasi kewangan kerana difahamkan gajinya akan dibayar oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri menyatakan bahawa tiada desakan untuk beliau meletakkan jawatan sama ada daripada pentadbiran negeri mahupun parti.

Kata beliau, jika dilihat di media sosial memang ada kenyataan mendesaknya supaya meletak jawatan, namun beliau menganggap perkara itu adalah kebebasan bersuara.

“Itu adalah hak semua orang kerana negara ini diberi kebebasan untuk bercakap, jadi beri ruang kepada mereka hendak desak ka nak apa ka. Saya masih lagi sebagai Menteri Besar Perlis.

“Saya tengok dalam media sosial banyak (mendesak meletak jawatan) tapi dalam parti tak ada, dalam pentadbiran pun tak ada, cuma dalam media sosial sahaja. Saya fokus untuk menguruskan negeri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI