PETALING JAYA – Pihak berkuasa diminta untuk memantau rapi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bagi mengelak isu agama, raja dan kaum (3R) dipergunakan untuk meraih undi.
Penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, meskipun keadaan itu belum jelas terlihat, namun beliau menjangkakan ada pihak tergamak melakukannya demi mendapatkan sokongan.
“Pihak berkuasa perlu memantau pilihan raya ini dengan lebih dekat untuk mengelak perkara menjurus kepada 3R.
“Katakanlah kempen sedang berlangsung dan ada penceramah gunakan isu 3R, mesti ada pihak (yang berautoriti) meminta ceramah itu dihentikan.
“Kita mahu kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan secara sihat berdasarkan hujah-hujah yang bernas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Awang Azman berkata, PRK Kuala Kubu Baharu adalah pilihan raya melibatkan kerusi DUN yang bertujuan memilih wakil rakyat di negeri Selangor dan (pilihan raya) itu tiada
kaitan dengan isu di peringkat nasional.
“Sewajarnya isu yang dibawa adalah berkaitan kepentingan masyarakat setempat. Pengundi pula harus mengambil kesempatan memilih wakil rakyat yang dapat membantu mereka.
“Antara isu-isu asas yang patut diberi tumpuan seperti pembersihan longkang kutipan sampah yang lebih baik serta jalan raya berlubang,” katanya.
Pakar sosiologi politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian turut berpandangan isu 3R akan diketengahkan dalam kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
Beliau berkata, walaupun PRK tersebut adalah tentang kerusi DUN, tetapi ia bakal terpalit dengan isu nasional termasuk kos sara hidup dan 3R.
“Kedua-dua isu nasional dan tempatan perlu ditangani dengan bijak walaupun menang atau kalah tidak akan menganggu struktur kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan antara empat penjuru dengan Pang Sock Tao menentang Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).














