fbpx

Jemaah Menteri teruskan Program Jana Wibawa – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful ketika hadir di Mahkamah Sesyen, hari ini. Foto oleh Amir KhalidKosmo!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang terkesan akibat Covid-19, diteruskan empat tahun lalu selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Datin Rosni Mohd. Yusoff, 52, berkata, isu cadangan program itu dibawa kepada Mesyuarat Kabinet untuk pertimbangan sebelum keputusan dibuat pada 13 November 2020 agar ia diteruskan.

Menurut bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan itu, cadangan program berkenaan dikemukakan oleh menterinya ketika itu (Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz) kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jana Wibawa diperkenal ketika pentadbiran Muhyiddin (Perdana Menteri ketika itu) dengan objektif mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19.

Ketika ditanya oleh peguam Amer Hamzah Arshad, beliau yang kini berjawatan pegawai tadbir dan diplomatik bersetuju bahawa Muhyiddin kemudian meminitkan perkara itu pada 3 Ogos 2020.

Menurut Rosni, terdapat dua cara untuk melaksanakan program Jana Wibawa iaitu menerusi rundingan terus dan melalui tender prakelayakan.

Pada prosiding sebelum ini, Rosni berkata Pejabat Perdana Menteri yang menentukan sama ada kelulusan projek Jana Wibawa melalui rundingan terus atau tender terbuka prakelayakan.

Saksi pendakwaan ketiga itu menyatakan demikian pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan atas tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Wan Saiful, 48, didakwa meminta suapan daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan membantu Nepturis Sdn. Bhd, mendapatkan projek berkenaan secara prakelayakan.

Beliau juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn. Bhd. daripada Nepturis sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek itu.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 dan 30 September 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI