fbpx

ASP, empat koperal dituduh rompak wanita China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai dan empat anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak wang RM140,000 milik wanita warga China di sebuah apartmen bulan lepas.

Empat tertuduh iaitu Khairil Annuar Sulaiman, 39, Mohd. Zaidi Jamaludin, 35, Mohd. Adrafil Adlan Roslan, 28, Ahmad Rohafiz Abdul Rani, 39, berpangkat koperal, manakala seorang lagi Mohd. Faizol Ismail, 41, berpangkat Asisten Superintendan (ASP).

Kesemua penjawat awam itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Mereka didakwa merompak secara berkumpulan ke atas wang milik Zhang Chenxuan di sebuah apartmen di Wangsa Maju di sini pukul 5.30 petang pada 6 April lalu.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah selain dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Gurmukh Singh Sandhu yang mewakili Khairil Annuar, Mohd. Zaidi, Ahmad Rohafiz dan Mohd. Faizol memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga.

Sementara itu, peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Mohd. Adrafil Adlan turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menjaga ibu bapa dan belum berkahwin.

Selepas mendengar permohonan dan makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 20 Jun ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI