fbpx

Eksport kayu Malaysia merosot 13 peratus – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari berucap di majlis APC 2023, pelancaran Polisi Keselamatan Siber MTIB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Persidangan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu merosot sebanyak 13.3 peratus pada tahun 2023 berbanding dengan tahun sebelumnya.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kuantiti pengeluaran juga merosot 4.2 peratus bagi tempoh yang sama.

“Kemerosotan itu berlaku ada dua, tiga sebab. Salah satu sebab adalah kedudukan ekonomi Amerika Syarikat pun tidak menentu, jadi permintaan berkurangan.

“Dahulu, kita punya eksport hampir mencecah 40 peratus industri perkayuan, termasuklah produk-produk kayu kita pergi ke Amerika Syarikat, jadi bila itu berlaku, maka terjejaslah sedikit kita punya eksport.

“Paling penting, saya nak pastikan bahawa kita mesti ada kualiti, kredibiliti apabila menghasilkan produk-produk kayu-kayan kita dalam negara kita..mestilah asli dimana bahan itu datang daripada Malaysia. Kalau import pun, sebahagian besar komponen mesti datang dari Malaysia, barulah boleh kata yang ia sebagai produk Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 (APC 2023), pelancaran Polisi Keselamatan Siber MTIB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Persidangan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), di sini, hari ini.

Katanya, penekanan harus diberikan kepada semua industri perkayuan supaya tahap pematuhan dan pengeluaran produk berasaskan kayu dapat dicapai, sekali gus meningkatkan kepercayaan pembeli.

Sementara itu, Johari berkata, kementeriannya menerusi Lembaga MTIB mensasarkan nilai eksport industri perkayuan mencecah RM28 bilion menjelang 2030.

Jelas beliau, industri perkayuan di Malaysia menyumbang RM21.8 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan produk berasaskan kayu dari Malaysia dieksport ke lebih 173 negara.

Dalam perkembangan lain, Johari turut menegaskan keselamatan siber adalah sangat penting bagi setiap kementerian termasuk KPK dan agensi-agensi di bawah seperti MTIB, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Johari berkata, pada masa ini, penggodam bukan sahaja mensasarkan bank namun turut menyerang agensi kerajaan dan syarikat.

“Mungkin bank susah dia (penggodam) nak godam sebab bank banyak laburkan sistem ‘firewall’ yang begitu mahal, susah dan sangat kompleks untuk digodam.

“Dulu, apabila cerita pasal keselamatan siber ini kita fikirkan membabitkan bank. Sekarang tak boleh, semua kena buat persediaan,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI