fbpx

Adaptasi teknologi AI dalam pengeluaran bekalan makanan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-44 di Putrajaya hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan tentang kepentingan pengekalan dan pemeliharaan guna tanah kawasan sumber makanan negara semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-44 di Putrajaya hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut menekankan tentang kepentingan mengadaptasi penggunaan teknologi moden dan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran bekalan makanan pada mesyuarat tersebut.

“Sayugia, MPFN Ke-44 kali ini telah mempertimbangkan dan telah bersetuju meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN).

“Pelan induk ini antara tindakan intervensi bagi mengurangkan kebergantungan kepada produk makanan import selain meningkatkan kemandirian negara dalam aspek bekalan makanan untuk dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan terutama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya serta pihak berkuasa negeri.

“Saya singgung pentingnya pengekalan dan pemeliharaan guna tanah kawasan sumber makanan negara serta mengadaptasi penggunaan teknologi moden dan AI dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran bekalan makanan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan media memaklumkan KAGUMN yang diluluskan MPFN hari ini mencadangkan sebanyak empat teras, 20 strategi, 48 tindakan dan 102 inisiatif untuk tujuan pelaksanaan oleh semua pihak berkepentingan.

Ia bertujuan memastikan pengekalan dan pemeliharaan guna tanah kawasan sumber makanan negara, menekankan pengunaan teknologi moden dalam mempertingkatkan produktiviti, serta penyediaan insentif fiskal kepada kerajaan negeri bagi memastikan kawasan-kawasan sumber makanan dapat dipelihara

Anwar berkata, mesyuarat itu juga menimbang dan bersetuju terhadap Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (GPP PSB) yang bertujuan memberi panduan dan rujukan kepada Kerajaan Persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju hartanah dan pihak berkepentingan yang ingin memajukan atau membangunkan semula kawasan penempatan yang terpinggir, usang dan tidak ekonomik untuk meningkatkan imej dan reka bentuk bandar.

Kata beliau, pembaharuan semula bandar itu perlu mengambil kira kesenjangan yang berlaku terutama berkait aspek perumahan, pemuliharaan bangunan warisan bagi mengekalkan identiti kota serta turut memberi penekanan tentang pegangan hak milik Bumiputera seperti yang diumumkan kerajaan bagi pembangunan di Sungai Besi dan Skim Perumahan Madani.

“Saya juga sekali lagi telah memberi penegasan kepada usaha mempercepatkan proses pembangunan dan memudahcara perniagaan untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur.

“Semua agensi, jabatan peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan disaran agar terus memberikan perhatian yang serius terhadap perkara ini kerana masih terdapat rungutan mengenai kecepatan proses kelulusan pembangunan di Malaysia yang masih ketinggalan berbanding jiran di rantau ASEAN,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI