fbpx

130 ditahan, protes pelajar universiti AS kian tegang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar NYU menyertai protes yang menentang pencerobohan Israel di Gaza di Bandar Raya New York semalam. - AFP

BANDAR RAYA NEW YORK – Lebih 130 orang ditahan dalam protes pro-Palestin di kampus Universiti New York (NYU) ketika demonstrasi pelajar semakin tegang di Amerika Syarikat (AS) berhubung perang Israel dengan Hamas, lapor saluran berita Channel NewsAsia (CNA).

Jabatan Polis New York (NYPD) memberitahu agensi berita AFP bahawa 133 orang ditahan di NYU, namun kemudian dibebaskan selepas mahkamah mengeluarkan saman.

Ia berlaku ketika protes turut berlanjutan di beberapa universiti terkemuka termasuk Universiti Yale, Universiti Columbia, Universiti Michigan dan UC Berkeley.

Ketika cuti Hari Paskah bermula pada malam Isnin lalu, polis mula menahan sejumlah penunjuk perasaan di sebuah kawasan di NYU yang sebelum itu mengingkari arahan untuk bersurai.

Jurucakap NYU berkata, keputusan untuk memanggil polis dibuat selepas kehadiran anggota tambahan penunjuk perasaan yang kebanyakannya bukan pelajar kampus itu. Mereka didakwa melanggar sekatan yang didirikan di sekitar kawasan tersebut.

“Kami meminta bantuan daripada NYPD. Polis menggesa mereka untuk bersurai dengan aman tetapi akhirnya membuat tangkapan,” katanya.

Demonstrasi itu berlaku di tengah-tengah perdebatan meluas mengenai serangan tentera Israel ke atas Gaza yang berlaku pada 7 Oktober tahun lalu.

Siri protes itu bermula minggu lalu di Universiti Columbia dengan sekumpulan besar penunjuk perasaan mewujudkan apa yang digelar ‘Perkhemahan Solidariti Gaza’ di kawasan kampus.

Namun, lebih 100 penunjuk perasaan ditangkap selepas pihak berkuasa universiti memanggil polis ke kampus tersebut pada Khamis lalu, satu langkah yang meningkatkan ketegangan melibatkan kumpulan pelajar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI