fbpx
Azwa cukup kecewa setelah mengetahui suaminya menjalin cinta dengan wanita yang pernah menjadi isteri kepada sahabat baik suaminya yang telah meninggal dunia. Suami Azwa memberi alasan dia hanya 'menjaga amanah' arwah sahabatnya. – Gambar hiasan

K2

Suami ‘kantoi’ jalin hubungan dengan balu arwah sahabat baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKAHWINAN merupakan satu ikatan suci dan menjadi satu fitrah dalam kehidupan manusia sepertimana ditetapkan oleh Allah SWT.

Namun begitu, setiap pasangan juga tidak terlepas daripada menerima ujian dalam perkahwinan mereka sehingga membawa kepada perpisahan dan itulah yang terjadi kepada seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Azwa.

Menurutnya, bahtera rumah tangga yang dilayari bersama suami tercinta hampir lapan tahun akhirnya karam setelah mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

“Suami saya menjadi punca kenapa saya meminta diri saya dilepaskan secara baik.

“Di belakang saya. dia menjalinkan hubungan dengan wanita lain,” katanya yang berusia awal 30-an.

Mengulas lanjut, Azwa berkata, dia sendiri mengenali wanita yang menjalin hubungan dengan suaminya itu.

Wanita tersebut merupakan isteri kepada sahabat suaminya sendiri, tetapi wanita itu menjadi balu atau janda setelah suaminya itu meninggal dunia.

“Suami wanita itu adalah rakan baik kepada suami saya dan kami memang mengenali antara satu sama lain.

“Malah, sebelum ini kami sering pergi bercuti bersama-sama sebelum suaminya meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya,” jelasnya.

Azwa tidak menafikan bahawa wanita itu sememangnya memiliki paras rupa yang menarik.

Namun, dia tidak menyangka bahawa wanita itu akan menjalin hubungan dengan suaminya setelah menjadi janda.

Pada mulanya, dia tidak mengesyaki hubungan mereka atas dasar kepercayaan antara satu sama lain.

“Tidak dapat dinafikan setelah kematian suaminya, persahabatan kami masih terjalin. Malah, saya sering bertanya khabar tentang dirinya dan ada ketikanya dia akan datang ke rumah untuk berbual bersama saya,” terangnya.

Lama-kelamaan Azwa mendapati suaminya itu mula berubah dan menunjukkan seakan mengambil berat kepada wanita itu.

Malah, suaminya itu tidak kekok untuk menghulurkan pertolongan kepada wanita itu apabila diminta.

“Pada mulanya saya tidak kisah, tetapi lama-kelamaan saya sendiri merasa cemburu. Apabila ditanya mengapa suami terlalu baik dengan wanita itu, suami saya menyatakan bahawa dia hanya menjaga amanah rakannya.

“Rakannya itu menitipkan pesan kepada suami saya untuk membantu isterinya jika berlaku apa-apa kepada dirinya,” terangnya.

Bukan itu sahaja, hati kecil Azwa seakan berbisik sesuatu dan dia merasakan bahawa suaminya itu ada menjalinkan hubungan dengan wanita itu.

Namun, dia tidak berani untuk bertanya akan hal tersebut kerana dia tiada bukti yang kukuh untuk menuduh mereka berdua menjalin hubungan.

Azwa bahkan mula merasakan ada perubahan terhadap suaminya.

“Sebelum ini suami saya sering meminta untuk saya bersama dengannya.

“Namun, selepas itu dia jarang untuk bersama dengan saya dan ada ketikanya saya yang harus meminta kepadanya untuk bersama. Malah, layanan juga sudah berbeza dan apabila ditanya dia memberi alasan penat bekerja,” terangnya.

Akhirnya apa yang dirasakan oleh Azwa itu benar apabila dia dapat mengetahui akan kecurangan suaminya itu bersama wanita tersebut.

Azwa menjelaskan, dia terjumpa sebuah telefon bimbit lain di dalam kereta suaminya itu.

“Hati saya amat berdebar ketika melihat telefon itu dan saya dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh suami saya.

“Akhirnya saya membuka telefon pintar itu dengan menggunakan beberapa kombinasi kata laluan yang sering digunakan oleh suami saya.

“Alangkah terkejut apabila saya melihat ada gambar suami saya dengan wanita itu dalam keadaan yang begitu mesra sekali, sama seperti pasangan suami isteri,” terangnya.

Tambahnya, bukan itu sahaja dia juga melihat perbualan suaminya dengan wanita tersebut yang begitu mesra seperti pasangan yang sedang bercinta.

Tanpa berfikir panjang dia menunjukkan gambar dan perbualan tersebut kepada suaminya.

Suaminya ‘terkedu’ dan tidak mampu untuk berkata apa-apa pada ketika itu.

“Akhirnya suami saya mengakui akan ‘perselingkuhannya’ itu dan dia berkata semuanya berlaku secara tidak sengaja.

“Malah, suami saya mengakui dia menyayangi wanita itu dan akhirnya mereka menjalinkan hubungan dalam diam,” jelas Azwa.

Azwa ternyata kecewa dan apa yang dia jumpa di dalam telefon itu sering mengganggu fikirannya.

Akhirnya, setelah berfikir panjang dia mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya dan dia minta dilepaskan secara baik untuk memulakan hidup baharu.

Mereka berdua kemudian sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN