SUNGAI PETANI – Kira-kira 1,500 penduduk Taman Universiti Fasa 2, Semeling di sini, tertekan apabila masalah bekalan air yang membelenggu mereka sejak enam tahun lalu menjadi semakin teruk.
Dakwa penduduk, jika dahulu bekalan air bersih masih diperolehi pada waktu malam tetapi sejak awal Januari lalu, ia terputus terus menyebabkan kehidupan mereka dihimpit resah hingga mengganggu aktiviti seharian.
Seorang suri rumah, Siti Namira Mohd Zainol, 40, berkata, sejak itu mereka terpaksa bergantung kepada bekalan air yang dihantar oleh kontraktor Syarikat Air Darul Aman (SADA) dua hari sekali.
“Tetapi penghantaran air melalui lori tangki ini juga bermasalah kerana catuan air dibuat pihak kontraktor hingga bekalan air tidak pernah mencukupi untuk kegunaan harian.
“Lebih teruk lagi kami terpaksa berhabis duit membeli air bersih untuk diminum kerana air yang dihantar ini hanya sesuai untuk mandi dan membasuh sahaja,” katanya.
Menurut ibu kepada empat anak yang kesemuanya masih bersekolah itu berkata, paling sedih ialah ketika sepanjang bulan puasa baru-baru ini apabila terpaksa berdepan dengan ketiadaan air berikutan kontraktor gagal menghantar bekalan mengikut jadual.
Bagi Suhaila Saad, 37, dia terkilan dengan sikap kontraktor dilantik SADA kerana bersikap sambil lewa ketika menghantar bekalan itu ke rumah mereka.
“Disebabkan jadual penghantaran tidak menentu, saya dan jiran lain terpaksa membuang masa menunggu ketibaan lori membawa air.
“Keadaan ini menyebabkan kami tidak boleh semata-mata mengharap bekalan air daripada lori tangki ini sebaliknya terpaksa mengangkut air daripada rumah saudara terdekat untuk kegunaan harian,” katanya.
Safuaz Mohd. Ghazali, 53, pula berkata, sambutan hari raya tahun ini kurang meriah tanpa kehadiran saudara terdekat berikutan berdepan masalah bekalan air.
“Empat anak saya yang balik bercuti sempena Aidilfitri tidak boleh tinggal lama di rumah kerana simpanan air kami habis digunakan.
“Malah, untuk menjimatkan air, kami terpaksa menghantar semua pakaian ke kedai dobi dan ini sememangnya mengganggu aktiviti seharian,” katanya yang berharap masalah itu dapat diselesaikan segera oleh SADA.
Ahmad Yaakob, 51, pula melahirkan rasa hairan kerana terpaksa menjelaskan bil bulanan tanpa gagal bagi mengelak pemotongan akaun sedangkan bekalan air tidak diperolehi mereka.
“Kami hairan dengan keadaan ini kerana bekalan air tiada tetapi bil tetap ada,” jelasnya.














