CINTA terhadap dunia kecantikan sejak di bangku sekolah telah membawa wanita ini menceburi kerjaya sebagai perunding kecantikan pada awalnya.
Memulakan kerjaya itu di sebuah syarikat bernama Shang Creation, Lisa Boo Kim Hiok perlahan-lahan mencipta nama dalam bidang kecantikan.
Menurut anak jati Johor Bahru, Johor ini, latar kerjayanya tidak semata-mata berkaitan jururunding kecantikan dan estetik, bahkan dia turut pernah bekerja di beberapa syarikat lain sebagai ketua jualan kecantikan.
Namun, Lisa, 43, memberitahu kehidupannya mula berubah sejak tahun 2007 ketika dirinya menginjak usia 24 tahun. Daripada kehidupan yang hanya berorientasikan tugasan rundingan dan mencantikkan pelanggan, Lisa berubah kepada pendidik yang membimbing pelajar dalam bidang kecantikan seperti solekan, dandanan dan sebagainya.
Dari situ, kerjaya Lisa terus ‘mekar’ sebagai seorang pendidik dalam bidang kemahiran dan kini merupakan Presiden Persatuan Pendidikan Teknikal Dan Vokasional Malaysia (PPTVM).
Berkesempatan menemu bual ibu kepada tiga cahaya mata ini, wanita yang mesra disapa sebagai Lisa ini mengakui, perubahan tersebut sebenarnya langsung tidak pernah disangka-sangka apabila dirinya ‘terjebak’ secara langsung dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai tenaga pengajar profesional.
“Titik tolak kepada penglibatan itu apabila saya yang merupakan perunding kecantikan mendapat nasihat daripada mentor, Puan Loo Sow Leng yang menginspirasikan saya untuk menjadi seorang jurulatih profesional.
“Menerusi pengalaman kerja dan latar pendidikan kecantikan, saya diberi peluang kerja sebagai pengajar dan jurulatih profesional di Beauty Pro Academy Klang sejak tahun 2007,” katanya kepada Aura.
Kongsi Lisa, ketika bergelar perunding kecantikan sebelum ini dia turut terlibat dengan pelbagai kerja-kerja promosi yang menuntutnya untuk bertugas di luar daerah dan kerap tidak berada di rumah.
Katanya, meskipun bayaran diterima setiap bulan cukup tinggi dan mewah, namun dia langsung tiada masa untuk dirinya sendiri apatah lagi bersama keluarganya.
Ujar Lisa, setelah berfikir masak-masak, dia akhirnya memutuskan untuk meninggalkan pekerjaan perunding kecantikan sekali gus bertukar kerjaya baharu sebagai tenaga pengajar profesional demi kehidupan lebih stabil.
Katanya, ketika mula-mula mengajar di akademi tersebut, dia diberi tanggungjawab mengajar 12 pelajar dan tiga daripada pelajar tersebut betul-betul menyentuh hatinya.
“Pelajar pertama, walaupun berasal daripada keluarga berada, dia menghadapi cabaran yang tinggi. Saya perlu meluangkan lebih banyak masa untuk mengajarnya dan dia bersungguh-sungguh dalam pembelajarannya.
Semangat belajar yang dipamerkan membuat saya sangat terharu.
“Pelajar kedua pula berasal dari Pulau Ketam, Selangor dan setiap hari perlu menghabiskan banyak masa untuk ke pusat latihan. Meskipun perjalanan jauh dan terpaksa menggunakan pelbagai mod pengangkutan, dia tetap berusaha hadir ke kelas. Sikap ini membuat saya sangat mengaguminya.
“Pelajar ketiga pula seorang yang agak sukar untuk diajar, tidak berminat dalam pembelajaran. Saya terpaksa berkorban dan meluangkan lebih banyak masa untuk membantunya menemui minat dalam pembelajaran.
“Akhirnya, semua pelajar berjaya menamatkan pengajian mereka dan melihat mereka berjaya menyarung jubah konvokesyen sekali gus membuat saya menyedari makna sebenar dalam pengajaran,” katanya.
Kemudian, sekali lagi pada 2009, kehidupan Lisa berubah apabila dia nekad untuk pulang ke kampungnya di Johor Bahru dan memulakan perniagaan berasaskan TVET miliknya sendiri.
“Apabila saya kembali ke Johor, perkara yang saya tidak akan pernah lupa apabila ibu meminjamkan RM5,000 untuk membantu saya mewujudkan pusat latihan kemahiran saya sendiri iaitu Professional Skill Training Centre.
“Pada permulaannya, saya hanya mampu menerima lima pelajar dan saya perlu menggunakan wang simpanan saya untuk menampung kos hidup pelajar-pelajar saya dalam memastikan mereka dapat menamatkan pengajian mereka dengan lancar.
“Segala-galanya dilakukan demi impian saya menjadi seorang pengajar di pusat pembelajaran sendiri,” katanya.
Lebih sedekad menabur bakti sebagai tenaga pengajar selain diiktiraf dengan pelbagai pencapaian termasuk menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan sekali gus bergelar doktor, cinta Dr. Lisa kepada pendidikan TVET semakin mendalam.
Ketika itu, selain menjadi tenaga pengajar, Dr. Lisa turut diberi pelbagai tanggungjawab besar antaranya pengajar di Pakar Industri Negara, Pegawai Penilai Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PP-PPT) Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Pegawai Pengesah Luaran Persijilan Kemahiran Malaysia dan beberapa jawatan lain.
Selepas melihat respons memberangsangkan pusat latihan yang dibangunkan, semua ahli jawatankuasa pusat itu termasuk dirinya bersetuju menubuhkan Persatuan Pendidikan Teknikal Dan Vokasional Malaysia (PPTVM) sekali gus melantik Dr. Lisa sebagai presiden sejak 2021 hingga kini.
Ujarnya, visi PPTVM adalah untuk membangunkan persekutuan latihan dan pendidikan di seluruh negara serta memperoleh penilaian teknikal. Misi PPTVM mahu membantu negara mempromosikan sijil teknikal serta meningkatkan latihan kemahiran perniagaan selain meningkatkan tahap pendidikan dan pensijilan teknikal-vokasional perusahaan. Pada masa sama, membantu generasi baharu menguasai bidang kemahiran.
Berkongsi pencapaian PPTVM, Dr. Lisa memberitahu, pusat latihan yang ditubuhkan mencatatkan peningkatan mendadak bermula hanya dengan 50 orang graduan kepada lebih 500 graduan pada masa ini sekali gus menunjukkan pencapaian membanggakan.
“Kami telah anjurkan majlis graduasi pada tahun 2022 dan akan adakan upacara graduasi tahun ini juga. Jumlah keseluruhan graduan meliputi semua pusat latihan adalah kira-kira 1,355 graduan, mencerminkan kejayaan besar buat kami.
“Jumlah tersebut termasuk mereka yang memilih kursus yang kami tawarkan iaitu sijil SKM dalam bidang dandanan rambut, terapi spa, perancangan kewangan, perkhidmatan estetik, operasi jualan dan pemasaran, sistem komputer, pembangunan aplikasi, penyuntingan video dan filem, aromaterapi, seni solekan, seni hiasan kuku, pembangunan sumber manusia, refleksologi, penyelenggaraan elektrik dan banyak lagi,” katanya.
Berkongsi cabaran sebagai presiden selama lebih tiga tahun, Dr. Lisa menjelaskan tidak lain tidak bukan adalah mengenai pandangan skeptikal masyarakat Malaysia terhadap TVET.
Katanya, skeptikal masyarakat kita berbeza dengan negara-negara maju seperti Jerman dan Singapura.
“Di Malaysia, masih ada stigma yang mengaitkan TVET dengan pelajar yang dianggap kurang berbakat dalam pengajian akademik. Masyarakat sering melihat TVET sebagai pilihan terakhir bagi mereka yang tidak layak melanjutkan ke pengajian tinggi.
“Selain itu, terdapat persepsi pelajar TVET dipaksa memilih bidang ini kerana kekurangan pilihan lain. Bagi masyarakat di Jerman dan Singapura, mereka lebih menghargai pendidikan TVET. Mereka melihat TVET sebagai jalan pintas yang berpotensi membawa kepada kerjaya yang berjaya.
“Pelajar TVET di sana dianggap aset penting dalam pembangunan ekonomi negara kerana mereka dilatih untuk menguasai kemahiran praktikal yang diperlukan oleh industri.
“Selain itu, sistem TVET di negara-negara ini juga memberikan peluang kepada pelajar belajar secara praktikal di tempat kerja yang mempersiapkan mereka dengan lebih baik untuk memasuki pasaran pekerjaan.
“Justeru, untuk memperbaiki pandangan masyarakat terhadap pendidikan TVET di Malaysia, perlu dilakukan usaha-usaha untuk mempromosikan kesedaran akan kepentingan dan potensi pendidikan ini. Pelajar perlu diberi pendedahan yang mencukupi mengenai pelbagai bidang dalam TVET dan peluang kerjaya yang boleh diperoleh selepas tamat pengajian,” tuturnya.
Berkongsi mengenai perancangan masa depan, Dr. Lisa yang juga pernah dinobatkan Successful People In Malaysia 2020 oleh British Media Group berhasrat untuk terus memperluas pengaruh PPTVM dan meningkatkan akses TVET di Malaysia.
Katanya, perancangan PPTVM sendiri adalah untuk terus mempromosikan TVET di Malaysia dan sejak 2019, PPTVM telah berjaya melatih pelajar di seluruh negara serta membangunkan lebih 75 pusat latihan dan syarikat bertauliah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
“Matlamat masa depan PPTVM termasuk memperluaskan SKM ke luar negara dengan China sebagai sasaran utama kerana kesamaan budaya dan bahasa serta kemajuan negara tersebut dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Mengakhiri bicara, Dr. Lisa menyeru mana-mana individu yang memiliki kemahiran tetapi tidak mempunyai sijil formal boleh menghubungi mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai proses memperoleh SKM yang dikeluarkan mereka.
Katanya, sijil tersebut penting kerana ia bukan sahaja mengiktiraf kemahiran yang dimiliki oleh individu tersebut, malah membuka peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik atau mungkin memulakan perniagaan sendiri.














