fbpx

Kelantan FC perlu ‘cari’ minimum 20 pemain – AFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Status pasukan Kelantan FC masih menjadi tanda tanya apabila belum mengesahkan skuad utama pada kempen Liga A1 Semi Pro musim depan. - Foto ihsan Facebool The Red Warriors

PETALING JAYA – Pasukan Kelantan FC masih belum boleh ‘bertenang’ meskipun sudah disahkan penyertaan pada kempen Liga A1 Semi Pro (dulu dikenali sebagai Liga M3) pada musim 2024 yang akan bermula pada Jun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, syarat utama yang ditetapkan kepada semua pasukan adalah untuk membuat pendaftaran minimum 20 pemain pada musim ini.

“Kelantan FC diberikan tempoh untuk menyelesaikan isu pendaftaran pemain. Mereka (Kelantan) sekarang ini dikenakan sekatan untuk ambil pemain baharu.

“Kita harap mungkin satu atau dua hari ini mereka boleh selesaikan (sekatan pendaftaran pemain baharu).

“Buat masa sekarang, Kelantan FC sudah selesaikan pembayaran pendaftaran pasukan tetapi sekarang bersangkut pula pada syarat lain (tidak cukup pemain).

“Oleh itu, pasukan terbabit diberikan tempoh sehingga 8 Mei untuk selesaikan (pendaftaran pemain) manakala pasukan lain pula tarikh tutup pada 30 Mei,”katanya, ketika ditemui di Petaling Jaya sebentar tadi.

Sebagai rekod, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan Kelantan FC dikenakan sekatan perpindahan pemain susulan isu tunggakan gaji membabitkan pasukan itu pada musim lepas.

Mengulas lanjut, Mohd Raimi tidak menolak AFL mungkin akan mencari pasukan lain atau mengambil tindakan susulan andai Kelantan FC tidak boleh mendaftar minimum 20 pemain pada tarikh yang ditetapkan itu.

“Secara tidak rasmi, kami dimaklumkan Kelantan FC tiada masalah untuk mendaftar 20 pemain. Namun, AFL boleh mencari alternatif lain jika pasukan itu tidak melepasi syarat terbabit sebelum tarikh tutup pendaftaran nanti,” katanya.

Skuad The Red Warriors ketika ini hanya mengesahkan kehadiran ketua jurulatih, Manja Man dengan status pemain-pemain yang ditandatangani pada musim baharu masih lagi belum didedahkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI