fbpx

Kotak hitam helikopter AW139 ditemui selepas 44 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kotak hitam helikopter tersebut yang berjaya ditemui hari ini.

KUALA SELANGOR – Kotak hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) AW139 (M72-01) yang melakukan pendaratan cemas sebelum ini berjaya ditemui di sekitar perairan Pulau Angsa, hari ini.

Kotak hitam itu ditemui kira-kira pukul 3.50 petang oleh pasukan penyelam penyelamat Maritim Malaysia.

Operasi membawa naik kotak hitam itu mengambil masa 25 minit dengan diselesaikan pukul 4.15 petang.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, penemuan tersebut selepas misi pencarian memasuki hari ke-44 setelah ekor pesawat helikopter terbabit dikesan di kedudukan 1.9 batu nautika selatan Pulau Angsa.

“Ia ditemui kira-kira 760 meter dari lokasi berlakunya nahas tersebut pada 5 Mac lalu.

“Setelah berjaya dinaikkan dari dasar laut, kotak hitam berkenaan telah dibawa ke makmal untuk dianalisa data rakaman bagi mengetahui punca sebenar insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pihaknya menjangkakan keputusan data akan diperoleh dalam masa terdekat.

Tegas Hamid, ini berikutan keadaan kotak hitam tidak mengalami sebarang kerosakan yang teruk.

“Operasi pencarian kotak hitam berkenaan telah membabitkan 21 penyelam yang berhadapan dengan kesukaran akibat arus deras di dasar laut.

“Selain itu, jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, misi pencarian kotak hitam turut disertai kru sonar Pusat Hidrografi Nasional (PHN) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Biro Siasatan
Kemalangan Udara (AAIB).

“Turut menyertainya adalah pihak penyedia perkhidmatan pesawat Maritim Malaysia iaitu Galaxy (M) Sdn Bhd, Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia serta kru kapal dan bot Maritim Negeri Selangor,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan helikopter AW139 terhempas kira-kira pukul 9.55 pagi pada 5 Mac lalu di perairan Pulau Angsa ketika aktiviti latihan menyelamat.

Empat kru iaitu Leftenan Komander Maritim, Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim bagaimanapun dilaporkan selamat. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI