fbpx

Perak rancang bina lebuh raya Tanjung Malim-Lumut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAARANI (tiga dari kanan, depan) bersama barisan pentadbiran negeri bergambar di ladang solar Asiabina Solar yang Parit Buntar hari ini.

PARIT BUNTAR – Perak telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Pusat untuk pembinaan lebuh raya baharu yang akan menghubungkan Tanjung Malim dan Lumut.

Cadangan dibuat semasa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke negeri itu baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut merupakan rancangan jangka masa panjang untuk memudahkan pengangkutan logistik antara Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

“Semasa Perdana Menteri datang ke Perak, kita ada senaraikan 10 perkara. Satu ialah projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Kerian. Kedua ialah pembinaan lebuh raya baharu dari Tanjung Malim ke Lumut.

“Tujuannya ialah apabila pelaburan AHTV bermula, ke mana hendak hantar produk itu. Kalau dihantar ke Pelabuhan Klang, sesak. Maka kita cadangkan pelabuhan di Lumut. Pelabuhan Lumut ini kita akan perkasakan.

“Jadi semua produk dari AHTV kita akan eksport melalui Lumut. Itu cadangan kita. Sebab itu ada keperluan untuk membina lebuh raya baharu,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar pada majlis perasmian Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50 Megawatt dan penyerahan surat tawaran Pinjaman Perumahan Perak Sejahtera (PPPS) kepada 30 orang penerima di sini hari ini.

Bagaimanapun tambah Saarani, cadangan itu telah didaftarkan di pentadbiran kerajaan Pusat, namun belum ada sebarang kelulusan.

Terdahulu dalam majlis dihadirinya, Menteri Besar berkata, perasmian ladang solar yang dibangunkan oleh syarikat Asiabina itu merupakan detik penting bagi menyokong penggunaan tenaga bersih dan lestari di Perak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI