fbpx

Kolam selam tempur Kem Iskandar 98 peratus siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Khaled (kiri) bercakap pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke tapak perumahan Projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Sungai Besi di Plantinum South Valley (PSV) Sales Gallery. - Foto FARIZ RUSADIO/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan projek pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor telah siap sebanyak 98.4 peratus.

Beliau berkata, projek berkenaan mengalami kelewatan berikutan terdapat masalah melibatkan pihak subkontraktor.

“Terdapat masalah melibatkan kerja-kerja seperti bahagian elektrikal, maka terpaksa mencari pengganti kerana biasanya kerja-kerja ini dijalankan oleh pihak yang ada kepakaran.

“Proses mencari penggantinya bukan mudah dan mengambil masa kerana perlu melalui proses tender dan sebagainya,” katanya ketika sidang akhbar selepas melawat Tapak Perumahan Projek SASaR Sungai Besi, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kementerian juga telah mendapat jaminan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa perkara itu diberikan perhatian yang serius dan khusus.

“Jadi, kita harap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Projek ini sebenarnya sudah mencapai 98.4 peratus, walaupun projek Kementerian Pertahanan tetapi dikendalikan oleh JKR, saya percaya pihak JKR ada menetapkan tempoh masa dan jika ada apa-apa kelewatan sudah tentu pihak kontraktor boleh dikenakan penalti,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai papan tanda projek di tapak pembinaan tersebut yang dirobohkan, Mohamed Khaled memaklumkan pihaknya tidak mengetahui siapa yang melakukan perkara tersebut.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam memerintahkan pihak bertanggungjawab yang membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing menjelaskan punca kelewatan pembinaan berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini ia masih dalam pembinaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI