fbpx
GAMBAR HIASAN

Kembalikan roh Ramadan di bulan Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUDAH seminggu umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan menunaikan ibadat puasa di bulan yang penuh dengan keberkatan dan pelbagai keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain.

Dalam kita bergembira di bulan Syawal dengan melakukan kunjung-mengunjung jiran dan sanak saudara sama ada yang jauh atau dekat, jangan kita lupa Ramadan yang meninggalkan kita banyak mengajar erti kesabaran.

Ramadan juga mengajar tentang erti ketaqwaan dan hubungan persaudaraan sesama umat Islam.

Persoalannya, adakah kita berjaya mencapai apa yang dipelajari ketika bulan puasa dan semakin menjadi hamba Allah yang lebih baik daripada sebelum ini.

Bagi menjadikan diri insan yang lebih bertakwa selepas menerima didikan Ramadan, marilah kita bersama-sama mengimarahkan rumah Allah iaitu masjid sama seperti apa yang kita semua telah lakukan pada bulan Ramadan yang lalu.

Jika di bulan Ramadan, ramai dalam kalangan kita melazimi sembahyang berjemaah di masjid dan surau bagi mendapatkan ganjaran yang berlipat ganda.

Malahan, di malam harinya pula, masjid, surau dan madrasah dipenuhi dengan jemaah hingga melimpah ruah ke tangga semata-mata untuk mencari keredaan Allah ketika beribadat di bulan yang penuh dengan keberkatan dan ganjaran itu bagi melakukan solat sunat tarawih yang hanya ada pada bulan Ramadan.

Malangnya, selepas berakhirnya bulan Ramadan, ramai yang lupa atau sengaja buat-buat lupa sehinggakan masjid, surau atau madrasah kembali sepi seperti sebelum Ramadan.

Dek kerana begitu sibuk dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri hingga sebulan lamanya, kini masjid, surau dan madrasah dipandang seolah-olah ditutup, sepi daripada kedatangan jemaah tidak seperti malam-malam Ramadan sebelum ini.

Lagi satu amalan soleh yang banyak orang melakukannya ketika bulan Ramadan iaitu membaca al-Quran.

Ada dalam kalangan kita yang boleh mengkhatamkan bacaan al-Quran banyak kali ketika Ramadan, malangnya kini ramai yang sudah tidak mempedulikannya hinggakan tidak terdetik di hati untuk menyentuhnya dek sibuk dengan urusan duniawi.

Sepatutnya roh Ramadan sentiasa ada dalam hati setiap umat Islam tanpa mengira bulan dan jangan hanya bersemangat menggandakan amalan kebajikan di bulan tertentu dan mengabaikannya pada bulan-bulan lain.

Seharusnya bulan puasa menjadi satu kayu ukur kepada kita semua agar terus istiqamah melakukan ibadat dan tidak meninggalkannya seperti membaca al-Quran dan mengimarahkan masjid.

Kita tidak mahu semangat Ramadan yang kita semua lalui sebelum ini pudar begitu sahaja tanpa kita mengambil manfaat daripadanya.

Marilah kita menjadi insan yang lebih baik berbanding sebelum ini berkat madrasah Ramadan yang mengajar kita banyak perkara dalam menghadapi cabaran hidup yang mendatang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN