fbpx

Isteri bodyguard mangsa tembak tuntut keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa tembak dilaporkan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Cyberjaya.

PUTRAJAYA – Isteri kepada pengawal peribadi yang parah terkena tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini menaruh harapan tinggi agar suspek kes itu segera dibawa ke muka pengadilan. 

Wanita itu, Siti Noraida Hassan, 38, turut berharap lelaki yang mencederakan suaminya, Muhammad Nur Hadith, 37, kelmarin mendapat hukuman ­setimpal.

Katanya, tindakan itu adalah bagi memberi pembelaan buat suaminya yang  kini dilaporkan dalam keadaan kritikal. 

“Suami saya masih dalam keadaan kritikal dan dijangka menjalani pembedahan susulan hari ini.

“Dia (suami) masih kritikal, tetapi pembedahan major masih belum dilakukan. Mungkin esok (hari ini), sekarang pihak hospital mahu menghentikan pendarahan dan memantau keadaannya supaya lebih stabil,” katanya kepada Kosmo! Di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.20 pagi kelmarin, lelaki tempatan itu melepaskan dua das tembakan dari jarak dekat sekitar dua  hingga tiga meter ke arah sasaran iaitu isterinya yang juga seorang ustazah.

Insiden tembakan itu menyebabkan orang ramai terma­suk penumpang dan kakitangan di Terminal 1, KLIA cemas dan bertempiaran lari.

Ketika kejadian, wanita berusia lewat 30-an yang mempunyai syarikat agensi pelancongan itu sedang menunggu kepulangan jemaah umrah di Balai Ketibaan Terminal 1, KLIA.

Lelaki itu dikatakan melemparkan satu mercun dan cuba menghampiri isterinya sebelum melepaskan dua das tembakan dari jarak dekat yang mengenai seorang pengawal peribadi wa­nita berkenaan.

Selepas melepaskan tembakan, lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta dan dipercayai menuju utara.

Senjata yang digunakan lelaki itu merupakan pistol semi automatik dengan peluru kaliber 9 milimeter (mm). 

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Susulan kejadian itu, polis memberkas suspek di Kota Bharu, Kelantan. Turut dirampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan semasa kejadian berdarah tersebut. 

Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI