TAMPIN – Khidmat membaiki dan mengubah suai (alter) baju raya yang dilakukan oleh seorang tukang jahit mendapat sambutan daripada orang ramai yang mahu kelihatan bergaya di pagi raya.
Rafidah Omar Sidi, 51, berkata, untuk itu dia dan beberapa pekerja termasuk anaknya bertungkus-lumus menyiapkan tempahan baju pelanggan terlebih dulu yang mendapat tempahan tiga kali ganda berbanding kebiasaan sebelum membuka khidmat alter.
Katanya, dalam masa seminggu khidmat alter dibuka, dia menerima 500 tempahan dan upah sebanyak RM3,000.
“Upah ini menjadi rezeki tambahan buat kami yang rata-ratanya terdiri daripada peserta Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR),” katanya ketika ditemui di Bengkel Jahitan SPKR, di sini semalam.
Menurutnya, pada tahun sebelum ini, dia banyak menerima pertanyaan daripada masyarakat setempat bagi khidmat itu, namun tidak dapat berbuat demikian kerana masih belum menyiapkan baju raya pelanggan.
Tambahnya, dia mula mempromosikan khidmat alter baju raya di media sosial setempat pada minggu lalu.
“Memang ramai yang nak alter, macam-macam antaranya baju kurung, baju kebaya dan baju Melayu sebab mereka beli baju dah siap ikut saiz, namun apabila sampai ke tangan, ada yang terlebih panjang atau terlalu besar,” katanya.
Ujar Rafidah, khidmatnya itu juga bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk menggayakan baju raya mengikut cita rasa mereka supaya tampil lebih yakin serta cantik di pagi raya.
“Tempahan alter yang kami terima tidak hanya dicatatkan nama pelanggan, bahkan dilakarkan juga rekaan pakaian yang diberi bagi memastikan hasil terbaik dapat dibuat serta pelanggan juga berpuas hati,” katanya.
Menurutnya, dia sudah mengusahakan perniagaan tersebut sejak tahun 2004 di bawah Pejabat Daerah Tampin bagi membasmi kemiskinan peserta SPKR yang rata-ratanya berpendapatan di bawah garis kemiskinan.
“Alhamdulillah dengan bengkel ini, bukan hanya peserta SPKR dapat meningkatkan pendapatan, bahkan kita juga menawarkan khidmat kelas jahitan dan ada antaranya menjadi usahawan jahitan serta ada yang menjadi pekerja di sini,” katanya.














