fbpx
REDA berdepan ribut kehidupan, Mawar Rashid tetap mensyukuri ketentuan. Baginya, erti kemenangan sebenar adalah senyuman yang terukir di bibir anak-anak. Tiada apa yang mampu menggambarkan kegembiraan meraikan Syawal selain keluarga.

Tiada apa perlu ditangisi – Mawar Rashid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK seperti beberapa tahun sebelum ini, nuansa Syawal Mawar Rashid kali ini berbeza apabila sudah tiada lagi lelaki bergelar suami di sisi.

Status ibu tunggal yang disandang juga pastinya menghadirkan warna berbeza pada garis kemeriahan sambutan hari kemenangan tahun ini.

Menyulam segala emosi dari sudut positif, pemilik nama sebenar Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 30, itu tetap berasa bahagia apabila keluarganya kini dilengkapi figura seorang bapa.

Perkahwinan ibunya, Marinee Abdullah dengan seorang pegawai istana Brunei, Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alauddin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Abu Bakar membawa keceriaan dalam hidup mereka sekeluarga.

TAHUN ini pertama kali, Mawar dan anak-anaknya akan menyambut Syawal di Brunei bersama ibu dan ayah baharunya.

“Tiada apa yang perlu ditangisi. Syawal adalah hari kemenangan buat semua umat Islam di dunia.

“Bagi saya, paling penting adalah kegembiraan anak-anak. Malah, status ibu tunggal bukan alasan untuk berasa sayu kerana saya kini mempunyai ayah yang juga tempat anak-anak menumpang kasih seorang datuk.

“Jika tiada aral, saya akan membawa tiga anak saya ke Brunei untuk beraya bersama ibu saya yang kini tinggal dengan suaminya di Brunei,” katanya kepada HibGlam.

Menurut Mawar, perancangan tersebut sudah diatur sebaik ibunya berpindah ke Brunei pada pertengahan bulan lalu.

Sebagai anak bongsu, hubungannya dan ibu tersayang sangat akrab apatah lagi mereka sebelum ini tidak pernah berpisah lama.

Selain mengubah angin, pertama kali beraya di Brunei pasti memberi pengalaman berbeza kepada peserta Dewi Remaja 2014/2015 dan anak-anaknya.

“Sedih juga ketika mummy (panggilan untuk ibu) menyatakan mahu menetap di Brunei selepas mengikat tali perkahwinan dengan babah (panggilan bapa tiri).

“Bayangkan, saya tidak pernah berpisah jauh walaupun sudah mempunyai anak kerana dialah tempat mengadu dan bermanja.

“Jadi, hari raya ini adalah masa yang tepat untuk melepaskan kerinduan walaupun hakikatnya belum sampai sebulan kami terpisah,” ujarnya.

KARIER seni Mawar kembali rancak apabila diajukan pelbagai tawaran termasuk duta beberapa jenama.

‘Vibes’ Thailand

Menariknya, Mawar terpesona menyahut ajakan ibu beraya di Brunei disebabkan janji wanita itu menyediakan juadah kesukaaannya di sana.

“Meski harus beraya di Brunei, saya tidak kisah pun sebab ibu mahu memasak makanan Thailand seperti kari ayam Thai, lontong, roti jala, rendang ala Thai.

“Saya pula suka masak lontong ketika raya. Tidak sabar mahu sajikan kepada keluarga baharu di sana nanti,” kongsinya lagi.

Enggan mengungkit kisah lalu, isu perceraian bukan lagi topik yang menyedihkan untuk diratapi Mawar.

Akuinya, dia dan bekas suami iaitu Raf Yaakob sudah memilih jalan masing-masing, tetapi masih boleh bersahabat demi kebaikan anak-anak.

“Kita letak tepi hal peribadi, buka buku baharu. Paling penting sekarang adalah kegembiraan dan kebahagiaan permata hati kami.

“Mereka masih terlalu kecil untuk memahami situasi yang kami lalui tetapi asalkan masing-masing tahu tanggungjawab, tidak mungkin akan berlaku masalah.

MAWAR tidak sabar membuat persiapan dan membantu ibunya menyediakan juadah tradisi untuk meraikan sanak-saudara baharu di Brunei. – IHSAN ARIANI & QIZSAR

“Kami sudah ‘move on’ (memandang ke hadapan). Masing-masing pun matang untuk mengawal keadaan,” jelasnya.

Ditanya mengenai kerjaya seni selepas kembali solo, anak jati Kota Bharu, Kelantan mengakui akan mula sibuk usai bercuti panjang sempena Syawal.

Menyedari langkahnya agak perlahan beberapa tahun kebelakangan ini, Mawar sedar inilah masa tepat untuk menggandakan kerja dengan memenuhi segala tawaran yang datang.

Selain drama, pelakon yang mula popular menerusi naskhah Tundukkan Playboy Itu turut dirisik beberapa jenama produk namun, masih perlu dipertimbangkan.

“Syukur, inilah masa untuk saya kembali aktif dalam dunia seni selepas menyelesaikan beberapa urusan keluarga.

“Ini juga rezeki saya untuk membesarkan anak-anak selain menyediakan tabungan untuk pendidikan mereka.

“Bukan hanya tawaran lakonan, saya anggap diri bertuah apabila mendapat kepercayaan syarikat pengeluar produk membabitkan beberapa jenama,” tutupnya.

HIDUP solo tanpa lelaki istimewa, Mawar dan bekas suami tetap boleh berbaik demi kebaikan anak-anak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN