SEGAMAT – Setiap kali ketibaan lebaran, pemberian duit raya menjadi satu kemestian dalam masyarakat bagi memeriahkan lagi sambutan Syawal tidak kira di kota mahupun di desa.
Sejajar dengan peredaran masa, kini trend duit raya berbentuk gold bar atau dinar mula menjadi pilihan orang ramai.
Menurut Nur Ain Shamsulkamal, 30, dia mula mendapat idea memberikan bar emas dan dinar sebagai pengganti duit raya apabila melihat emas itu dijadikan hantaran perkahwinan rakannya.
“Rakan saya menerima sebahagian wang hantaran dalam bentuk dinar dan sebahagian lagi dalam bentuk wang tunai.
“Selain nilainya boleh meningkat mengikut harga pasaran, ia juga selamat dan hingga kini saya memilih menyimpan dinar tersebut sebagai kenang-kenangan.
“Wang hantaran semestinya sudah digunakan sewaktu majlis. Mujur juga ada dinar. Jadi rakan saya boleh simpan sebagai simpanan masa hadapan.
“Tahun ini, saya telah membeli beberapa bar emas dan dinar sebagai pengganti duit raya kepada keluarga. Dengan serendah RM20 pun ada bar emas ini. Tak perlu beli mahal-mahal. Cukup mengikut kemampuan kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, dia memilih bar emas seberat 0.005 gram (g) anggaran harga RM15 hingga RM20.
Sementara itu, Syaidatul Akma Samsudin, 36, berkata, dia yang sudah beberapa tahun berkecimpung dalam dunia penjualan gold bar, dinar dan barang emas ini.
“Permintaannya kali ini meningkat berbanding tahun lalu. Rata-rata orang ramai beranggapan gold bar dan dinar ini mahal. Namun bagi yang berkemampuan, membeli barang kemas dianggap rutin secara bulanan.
“Bagi memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat memiliki gold bar ini, syarikat pengeluar emas bumiputera yang saya jadi pengedar ini ada menyediakan gold bar sekecil 0.005 gram berketulenan emas 999.9 yang semestinya mampu milik.
“Dengan harga serendah RM15 hingga RM20, orang ramai boleh menjadikan gold bar ini sebagai alternatif pengganti duit raya atau simpanan sendiri. Ia amat sesuai bagi golongan yang tidak suka memakai barang kemas atas faktor keselamatan diri,” ujarnya.
Katanya, pemberian gold bar mampu milik ini juga dapat memberi pendedahan dan pendidikan awal mengenai kebaikan pelaburan dalam bar emas dan dinar kepada ibu bapa serta anak-anak yang menerimanya.
“Selain itu, ilmu serta pengetahuan mengenai zakat emas juga dapat diterapkan kepada orang ramai yang masih lagi keliru,” kongsinya.
Tambahnya, pemberian gold bar dan dinar sewaktu perayaan memudahkan orang ramai supaya tidak perlu panik dan berpusu-pusu membuat pertukaran wang di bank setiap kali menjelang Aidilfitri.
Dengan ketulenan 999.9, gold bar seberat 0.25 gram dijual pada harga kira-kira RM116, 1 gram (Fedmas) berharga RM354, 1 gram (Black Gold) (RM355), 5 gram (RM1,748), 10 gram (RM3,475), 20 gram (RM6,930), 50 gram (RM17,225), 100 gram (RM34,350) dan seterusnya.
Tidak ketinggalan juga dinar dengan berat 1/4 dinar 1.06 gram berharga RM378, 1 dinar seberat 4.25 gram (RM1,488), 2 dinar dengan berat 8.5 gram (RM2,971) dan syiling serta loket emas juga turut ditawarkan.
Harga gold bar serta dinar boleh berubah setiap hari mengikut harga pasaran semasa.














