fbpx

Op Hari Raya: 42 bas ekspres dilarang berada di jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokman (kanan) melakukan pemeriksaan bas sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2024 di TBS, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 42 bas ekspres tidak dibenarkan berada di jalan raya susulan pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap 3,799 bas di 54 depoh dan 28 terminal bas seluruh negara.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesemua bas itu diambil tindakan ekoran tidak mencapai standard keselamatan yang ditetapkan.

“Hasil daripada pemeriksaan, sebanyak 77 bas diambil tindakan termasuk 47 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 42 bas dikenakan larangan penggunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akbar selepas melakukan pemeriksaan bas sempena Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini hari ini.

Lebih mengejutkan, Lokman berkata, daripada 244 pemandu yang disaring, seorang warga emas antara enam orang yang dikenal pasti terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Dua kes dikesan berlaku di Sarawak, Kedah (2) manakala satu kes masing-masing di Perak dan Kelantan.

“JPJ akan membatalkan lesen pemandu bas serta tindakan tegas turut diambil terhadap syarikat,” ujarnya.

Tambah Lokman, JPJ turut melaksanakan 84 penyamaran terhadap pergerakan bas di seluruh negara bagi mengesan kelakukan pemandu sewaktu perjalanan.

“Daripada penyamaran dilakukan, 62 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki pemandu kedua termasuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI