fbpx
MIMI LANA

Saya ada banyak ‘projek’ dengan Syafiq Kyle – Mimi Lana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERLIHAT selamba, gembira dan sudah ‘move on’ daripada episod paling gelap apabila perkahwinan bersama aktor Syafiq Kyle dibatalkan seminggu sebelum acara berlangsung, aktres Mimi Lana mengakui hatinya belum pulih sepenuhnya.

Sebagai manusia biasa, Mimi cukup sedar, siapakah dirinya untuk menolak takdir yang sudah tertulis.

Meskipun rasa ‘sakit’ masih ada,  Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Roziana Zainal Abidin, 29, memilih untuk berdamai dengan takdir.

“Sebagai wanita sudah tentu saya cuba yang sehabis baik dan tipulah kalau saya kata saya tidak sedih. 

“Semua orang yang melalui perkara sama seperti saya sudah tentu rasa sedih dan kecewa. 

BIARPUN tiada jodoh untuk bersuamikan Syafiq Kyle, Mimi tetap mengekalkan hubungan baik dan sikap profesional dengan bekas tunangnya itu.

“Tetapi saya bersyukur Allah hadirkan pelbagai perasaan mungkin untuk saya menjadi lebih kuat dan matang mendepani situasi masa depan,” kata Mimi.

Dilihat memilih bersikap profesional apabila masih menjalin hubungan baik dengan Syafiq, kata Mimi, dia enggan terlalu mengikut emosi.

Bahkan, ramai yang terkejut apabila Mimi dilihat bekerjasama dalam banyak projek bersama Syafiq seperti kempen raya dan filem The Experts.

“Saya ada banyak projek dengan Syafiq selepas ini, suka atau tidak saya perlu bersikap profesional sebab industri kita kecil sahaja. Hal peribadi harus diketepikan ketika saya bekerja,” ujar Mimi.

Ditebak apakah nasihatnya kepada orang luar yang mungkin sedang menghadapi situasi serupa, bintang filem Pusaka itu memilih untuk lebih sayangkan diri sendiri.

“Selalulah pilih diri sendiri dalam apa jua situasi. Percaya dengan diri sendiri dan kata hati serta selalu ikhlaskan niat.

“Apa-apa pun, cuba yang terbaik untuk diri sendiri selagi kita tahu perkara itu tidak memudaratkan diri. Perkahwinan jadi atau tidak, saya okey. 

“Kita perlu ‘move on’ sekurang-kurangnya kita sudah mencuba yang sehabis baik,” kongsi Mimi yang ditemui di lokasi penggambaran drama First Wives di Putrajaya baru-baru ini.

Komedi pertama

Berbicara tentang First Wives, karya yang turut dibintangi Malek McCrone, Melissa Chambell, Charles Roberts, Carmen Soo dan Andy Teh tersebut buat pertama kali menampilkan Mimi memegang watak utama dalam drama komedi. 

Gementar pada permulaannya, namun Mimi akui sudah mula selesa ditambah dengan pasukan produksi yang sentiasa membantunya.

“Mungkin saya sudah terbiasa membawa watak yang berat dalam genre serius dan saya sendiri rasa diri tidak kelakar, jadi saya takut.

“Dalam hati mampukah saya membawa watak untuk genre komedi? Alhamdulillah, saya sudah mula ada keyakinan dan rasa seronok membawakan watak komedi.

Sambutan Aidilfitri cukup istimewa buat Mimi kerana dapat berkumpul dengan keluarga di kampung halaman di Taiping, Perak.

“Selepas ini, saya akan terbuka untuk menerima naskhah komedi sebab tidak berat dan tertekan ketika berlakon,” kata Mimi tentang drama terbitan Astro Shaw itu.

Finalis Dewi Remaja 2014/2015 itu yakin keterbukaan mencuba pelbagai watak yang berbeza satu asas yang baik ke arah menjadi aktres versatil.

Selepas sedekad bergelar anak seni, akui Mimi pekerjaan sebagai pelakon bukan mudah. Semakin hari, watak yang dibawanya semakin mencabar dan sukar.

“Biasanya kalau kita sudah kerja lama pasti akan rasa senang, tetapi tidak untuk saya. Lagi lama saya berlakon, lagi susah watak yang saya bawa.

“Sekarang saya lebih banyak berfikir dan mungkin ilmu lakonan pun sudah bertambah jadi banyak watak yang ingin dicuba. 

“Tiada watak yang mudah kerana semua ada cabaran yang tersendiri,” ujar Mimi yang menyimpan impian berlakon dalam karya biopik.

Raya adalah keluarga

Beralih bicara tentang sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, Mimi akan pulang ke kampung halamannya di Taiping, Perak dan bercuti selama seminggu.

Bagi Mimi, cuti raya adalah momen yang dinanti-nantikan sementelah jadual kerjanya begitu padat hampir sepanjang tahun.

“Raya sangat istimewa sebab dapat berkumpul dengan keluarga dan balik kampung. Kerja sebagai pelakon memang sukar untuk cari masa berkumpul bersama seluruh keluarga besar.

“Inilah masanya untuk saya bercuti dan menikmati masa dengan keluarga sepuasnya,” luah Mimi.

Sudah ‘move on’ daripada kisah tak jadi kahwin, Mimi menasihati individu yang melalui perkara yang sama agar memilih untuk mengutamakan diri sendiri dalam apa jua situasi.

Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, Mimi hanya mempunyai sepasang baju raya, selebihnya dia akan berbelanja menggembirakan hati keluarga.

“Saya orang yang ringkas, biasa pada pagi raya saya akan bergaya untuk sesi bergambar, tetapi untuk raya kedua saya akan berada di dapur.

“Sudah menjadi rutin keluarga pada raya kedua, kami akan mengadakan rumah terbuka dan saya akan membantu apa yang patut di dapur.

“Bagi saya raya adalah tentang masa bersama keluarga. Jadi, saya sangat menghargai pertemuan bersama keluarga,” tutur Mimi.

Mimi sempat berpesan kepada orang ramai  yang ingin pulang ke kampung supaya berhati-hati di jalan raya.

“Pandulah kenderaan dengan berhemah kerana ada orang tersayang yang menanti di kampung halaman. 

“Selamat hari raya buat semua,” kata Mimi menutup bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN