fbpx
Nadia Fasha Qistina mengalami cacat kekal pada muka dan beberapa anggota badan selepas disimbah asid individu tidak dikenali. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

‘Apa salah saya sampai diseksa begini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – “Siapa yang tergamak buat saya begini? Muka saya rosak teruk dan malu hendak berjumpa sesiapa termasuk keluarga sendiri. Saya menderita!”

Demikian luahan Nadia Fasha Qistina Azman Shah, 20, yang mengalami cacat kekal akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika pulang dari tempat kerja di Denai Alam di sini, ke rumahnya di Sungai Buloh pada pukul 5 petang, 8 November tahun lalu.

Katanya, kejadian itu telah mengubah hidupnya 360 darjah dan kini dia suka me­nyendiri kerana malu berdepan dengan sesiapa sahaja termasuk ahli ­keluarganya.

“Saya tidak tahu siapa dan apa motif dia membuat kejahatan ini kepada saya. Asid itu telah menyebabkan 70 peratus anggota badan saya rosak teruk.

“Sakit pada muka dan mata setiap hari tidak dapat saya tanggung. Saya sedih dan murung setiap kali mengenangkan nasib hingga tiada hati hendak beli baju baharu untuk sambut Aidilfitri,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Nadia Fasha Qistina, keadaan itu membuatkannya seperti terpe­rangkap di dalam rumah sendiri ekoran malu dan hilang keyakinan berkomunikasi dan bersemuka dengan orang lain.

Tambahnya, dia akan merasa sakit setiap kali bangun tidur kerana kulit mukanya akan menjadi tegang dan perlu disapu pelembap.

“Tidur pun macam tak tidur kerana mata tidak boleh ditutup rapat kerana kelopak mengeras. Mata tidak boleh kena angin atau panas sebab air mata saya sudah tiada dan bergantung pada penitik air mata sepanjang hidup,” katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak dapat menerima hakikat atas apa yang berlaku kepada dirinya, namun bersyukur kerana ahli keluarganya sering memberi motivasi untuknya cekal berdepan ujian.

Ujar Nadia Fasha Qistina, ramai rakan menghantar mesej hendak berjumpa tetapi ditolak kerana malu dan perlu berjaga-jaga mengelak jangkitan.

“Kejadian berlaku sepantas kilat apabila asid itu disimbah oleh lelaki yang menyamar sebagai pekerja e-hailing. Saya di­selamatkan oleh seorang peniaga wanita yang ada di situ.

“Saya difahamkan polis belum ada tangkapan, jika saya jumpa suspek, saya mahu tanya me­ngapa dia ‘ragut’ kehidupan saya,” katanya.

Ibu mangsa, Noraini Abd. Hamid, 40, berkata, doktor memaklumkan penyerang menggunakan 99.9 peratus asid yang menyebabkan luka masuk ke dalam badan.

“Pelakunya memang berniat untuk merosakkan masa depan anak saya. Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian tersebut kerana dia baru sahaja membalas mesej saya ketika itu,” katanya.

Ujar Noraini, anaknya telah menjalani 10 pembedahan termasuklah menggantikan kulit muka sebelum dibenarkan keluar hospital pada 9 Januari lalu.

“Dia perlu jalani rawatan susulan untuk melembutkan kulit muka. Saya tidak boleh jangka bila dia akan pulih dan kos rawatan bulanan mencecah RM6,000 termasuk perjalanan,” katanya.

Dia berharap ada pihak yang sudi membantunya dari segi tajaan rawatan susulan. Bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank CIMB 7026-6395-38 milik bapa Nadia Fasha, Azman Shah Mohammad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN