fbpx

Video raya Aliff Syukri : Telefon, kad sim dihantar ke forensik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika ditemui pemberita di WTC KL hari ini. - Foto oleh NUR MUHAMMAD NAUFAL DUROKHMAN

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengesahkan telah menghantar telefon bimbit dan kad sim milik usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman kepada forensik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu diambil selepas Aliff Syukri diminta tampil beri keterangan di Ibu Pejabat MCMC semalam, bagi siasatan lanjut berhubung kandungan video teaser Hari Raya.

“Telefon bimbit dan kad sim beliau disita dan dihantar ke forensik untuk siasatan lanjut.

“Saya belum menerima sebarang maklumat terperinci berhubung perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Berbuka Puasa bersama agensi penguat kuasa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan kertas siasatan itu akan diserahkan kepada Peguam Negara setelah dilengkapkan.

Klip video raya yang dimuat naik di platform media sosial beliau dilihat sebagai kandungan yang bersifat jelik yang boleh melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Ia termasuk Seksyen 233 yang melarang pembuatan dan penghantaran komunikasi yang antara lain, bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.

MCMC berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 [Akta 588].

Aliff Syukri menerusi Instagramnya pada Selasa lalu, telah tampil membuat permohonan maaf dan mendakwa video teaser raya itu adalah satu gurauan sahaja selain meminta orang ramai supaya tidak memperbesarkan isu terbabit.

Permohonan maaf itu dibuat susulan kecaman bertubi-tubi yang diterima berhubung perkongsian sebelum ini yang memaparkan aksi dia bersama beberapa penari mengenakan kostum aneh dalam sedutan video lagu raya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI