JOHOR BAHRU – Takut ditangkap pihak berkuasa menjadi punca ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan perkhidmatan sindiket yang mengatur perjalanan rentas sempadan menggunakan lorong tikus.
Biarpun berdepan bahaya, golongan ini nekad menggunakan khidmat haram itu selain tidak kisah berhabis wang ringgit asalkan dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sebahagian PATI telah berulang kali menggunakan servis haram itu dan menyifatkan proses lebih mudah dan cepat.
Seorang pekerja buruh warga Indonesia dikenali Sumardi, 49, berkata, dia sudah dua kali menggunakan servis haram itu selepas memasuki negara ini secara haram.
“Saya masuk tak ada pasport, masuk kosong, jadi lebih baik saya balik pun guna cara ini.
“Tengok atas nasib, kalau tidak baik ada yang kena tangkap. Saya sudah dua kali guna (khidmat sindiket) bernasib baik lagi,” katanya kepada Kosmo!.
Sumardi yang tinggal di kawasan setinggan di Larkin hampir 10 tahun dan bekerja sebagai tenaga buruh memberitahu, dia menggunakan khidmat balik raya kenalannya yang bertindak sebagai tekong.
Katanya, dia membayar sebanyak RM2,000 kepada tekong untuk balik ke kampung halaman di Medan, Indonesia.
Sementara itu, seorang pekerja kedai makan, Ayu Santika, 37, berkata, dia pertama kali menggunakan perkhidmatan haram itu kerana mahu proses lebih mudah dan cepat.
Katanya, pasportnya yang telah lama mati dan sukar untuk memperbaharui selain takut ditahan menyebabkan dia memilih untuk pulang beraya secara haram.
“Pasport sudah mati lama, ia (pasport) juga dipegang majikan lama, jadi sekarang yang ada salinan sahaja, saya pula lari dari majikan terdahulu.
“Jadi saya nak balik tak ada pasport, saya tanya kawan-kawan macam mana dan ada yang cakap guna perkhidmatan ini, jadi saya sanggup bayar RM1,800 asalkan tidak ditangkap,” katanya.














